RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah mengingatkan agar masyarakat setempat tidak cuba berkomplot atau bekerjasama mahupun memberi simpati kepada para penyeludup terutama sekali yang tinggal bersebelahan sempadan negara.
Titah Baginda lagi, ia termasuklah bersubahat dengan mana-mana pihak yang mempunyai niat tidak baik dalam aspek penyeludupan sama ada barangan atau apa bentuk sekalipun yang menyalahi undang-undang negara.
Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub di Balai Menghadap Biru Istana Arau, semalam.
Berangkat mengiringi Baginda adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Tuanku Syed Sirajuddin juga mahu komunikasi antara pihak Kerajaan Persekutuan dan pihak kerajaan negeri di mana setiap keputusan yang dibuat di peringkat Persekutuan yang mempunyai implikasi besar terhadap Negeri hendaklah turut dimaklumkan.
Malah titah Baginda, ia perlu dibincangkan secara bersama sebelum pelaksanaan dijalankan dan tidak terus membuat keputusan tanpa melibatkan pandangan dari peringkat Negeri.
Raja juga turut bertitah agar Salahuddin bersama seluruh jentera KPDN terus-menerus memantau kos sara hidup yang membebani banyak rakyat hingga menyebabkan mereka bersusah payah membanting tulang bagi memenuhi keperluan hidup masing-masing.
Pada majlis tersebut Salahudin telah mempersembahkenalkan barisan kepimpinan tertinggi KPDN termasuk berkongsi hala tuju Kementerian berkenaan untuk tahun 2023 dan juga perancangan secara spesifik di peringkat negeri Perlis.
Hadir bersama Salahuddin adalah delegasi KPDN terdiri daripada Ketua Setiausaha, Datuk Azman Yusof; Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Roziah Abudin; Ketua Pengarah Penguatkuasa Datuk, Azman Adam; Pengarah Kanan Sektor Barang Kawalan dan Subsidi, Datuk Dr. Stanley Tan; dan Pengarah KPDN Negeri Perlis, Norazah Jaapar.
Turut hadir, Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad yang sebelum bertukar ke Perlis adalah merupakan Ketua Setiausaha kementerian tersebut. – SM