Jangan ahli siapkan kapan, kerana UMNO tidak akan terkubur
AHLI UMNO diminta untuk terus memberikan sokongan kepada parti dan institusi presiden serta perlu berhenti daripada melakukan tindakan yang boleh membunuh UMNO.
Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, orang luar mungkin mahu melihat riwayat UMNO tamat namun begitu ahli tidak sepatutnya membantu usaha tersebut dengan melemparkan kasta nista meminta Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO.
“Berilah sokongan pada parti dari tiang, alang hinggalah atapnya. Berhentilah membiakkan barah. Orang luar mungkin mahu melihat UMNO ini terkubur.
“Maka janganlah kita yang di dalamnya pula yang sibuk menyiapkan kapan dan kerandanya. UMNO tidak sekali-kali akan terkubur,” kata Norliza.
Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang itu berkata, perbuatan seperti meletakkan kain rentang menggesa Ahmad Zahid melepaskan jawatan merupakan satu tindakan yang boleh membunuh parti.
Tegas beliau, tidak ada sebab untuk ahli berlaku biadab dengan melemparkan kata-kata kejian dan berfikiran sempit.
“Wanita UMNO Pulau Pinang memandang tindakan segelintir dari kita yang mengeluarkan kecaman, kata nista melalui media sosial dan kain rentang terhadap pengunduran Presiden UMNO sebagai tindakan membunuh parti secara terang.
“Sekalipun tepian tetap akan berganjak apabila air gedang, namun ia bukanlah alasan untuk kita biadap dalam berjuang.
“UMNO lahir dari jiwa pendukungnya yang besar. Janganlah hanya kerana ujian yang kita lalui hari ini menjadikan pemikiran dan jiwa kita semakin sempit dan mengecil,” katanya.
Wanita UMNO Pulau Pinang menurutnya, tetap berdiri teguh setiap saat bersama parti.
Mereka tetap menghormati institusi presiden dan menyantuninya atas prinsip muafakat dan pembelaan bangsa Melayu.
Norliza meminta ahli dan pemimpin yang tidak sependapat agar mengeluarkan teguran secara matang.
“Sekalipun kita berbeza pendapat tapi janganlah beralas dengki dan hasad. Berhujahlah dalam gelanggang dengan hati yang lapang. Menegurlah dengan matang. Bertikam lidah takkan membenam gundah.
“Matanglah mengendalikan situasi. Saat ini parti memerluan ahli yang setia, teguh dan bijaksana dalam bertindak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-SM