KISAH ini diceritakan oleh seorang rakan wartawan senior di Facebook milik beliau yang meneruskan tugasnya di negeri kelahirannya, Sarawak.
Apa yang dikongsikan di SUARA MERDEKA, dengan izin dan pengetahuannya, adalah pengalaman peribadi beliau sendiri.
Ikuti penulisan penceritaan beliau di bawah:
Sebelum ini, saya pernah ternampak kelibat ‘orang’ berpayung dalam hujan lebat di kawasan gelap di Paradom, Sibu ketika memandu sendirian di kawasan itu pada jam 2 pagi, dalam tahun 2013.
Namun, apabila dihampiri, orang itu hilang entah ke mana.
Selain itu, beberapa benda pelik pernah saya temui ketika memandu jarak jauh melalui jalan rentas Borneo pada waktu malam, namun tidak adalah yang sampai membuat jatuh demam.
Baru-baru ini, pada malam 22 September 2020, saya bermotosikal sendirian merentasi costal road atau jalan pesisiran yang kebanyakan lokasi dilalui agak sunyi.
Selepas keluar dari feri Triso menyeberangi Batang Lupar selepas waktu Maghrib, saya melalui kawasan gelap yang kiri kanan jalan dipenuhi dengan tanaman pisang.
Kalau tak silap kawasan itu selepas simpang Sebuyau dan berdekatan dengan Sebangan.
Ketika melalui kawasan gelap dan sunyi itu, saya perasan ada kereta mengekori dan jelas lampunya menerangi jalan.
Yang saya perasan, kereta itu mengekori agak rapat lalu saya memberi lampu isyarat kiri, agar dia memotong.
Namun, kereta itu tidak juga memotong lalu saya pandang cermin belakang….tak ada lampulah pulak. Kemudian perlahankan enjin motor dan toleh…eh? Sunyi dan gelap je belakang, tak ada kereta pun.
Saya teruskan perjalanan, namun selang beberapa minit kemudian, terdengar lagi bunyi kereta di belakang dan seperti sebelumnya, saya pandang cermin belakang…kosong.
Toleh pula lepas tu, pun kosong. Yang kelihatan hanya gelap gelita.
Tidak jauh dari Jambatan Batang Sadong sepanjang 1.5 kilometer yang kini direkodkan jambatan terpanjang merentangi sungai di negeri ini, sekali lagi saya melihat lampu kereta dari belakang menerangi jalan di hadapan saya.
Dan saya menunggu kereta itu memotong namun akhirnya seperti dua kejadian terdahulu….tiada pun kereta berada di belakang saya.
Elok sahaja sampai di tengah-tengah jambatan, saya berhentikan motor, matikan enjin dan minum sambil memikirkan apakah yang berlaku sebentar tadi?
Ketika itu angin bertiup agak kencang. Maklumlah, tempat saya berhenti di jambatan itu, betul-betul berada di tengah sungai.
Ketika saya berhenti itu, kedengaran sayup-sayup bunyi motosikal dari arah Simunjan dan lama-kelamaan, bunyi itu semakin hampir seolah-olah motor yang jenis bunyi ‘prenggggggg’ itu naik jambatan.
Lama saya perhati, tak ade pula kelibat motor walaupun jambatan itu diterangi lampu jalan.
Ketika semakin hampir, tak semena-mena bunyi bingit itu hilang begitu sahaja. Yang peliknya, hanya kedengaran bunyi sedangkan motornya memang tidak nampak atau kelihatan walaupun saya berdiri di kedudukan tertinggi di jambatan itu yang boleh nampak sehingga ke pangkal jambatan.
Saya pun tidak berhenti lama, start semula motor dan blah…….Namun dari awal tadi lagi, saya teringat pesan orang lama, jika terjumpa ‘sesuatu’ jangan sesekali panik. Jangan memecut kerana dikhuatiri kita boleh hilang kawalan.
Itu yang saya amalkan pada malam itu dan alhamdulillah, saya selamat sampai di rumah kira-kira pukul 9 malam, dengan persoalan, apakah sebenarnya yang mengekori saya dalam kegelapan itu.
Bagi anda yang mungkin melalui jalan rentas Borneo pada waktu malam, jika terjumpa dengan apa yang saya lalui, tenangkan diri. Tumpukan pada pemanduan. Jangan sesekali panik. – SM