Jalan Bintong “lubuk nasi lemak” di Perlis
TIDAK keterlaluan jika Jalan Bintong dikatakan sebagai ” lubuk nasi lemak” di Perlis.
Jalan Bintong seakan-akan telah mencipta keunikannya tersendiri apabila menjadi satu-satunya jalan paling banyak dengan peniagaan nasi lemak mulai dari pagi sehingga ke malam.
Mana tidaknya, tinjauan wartawan SUARA MERDEKA mendapati, dalam jarak satu kilometer Jalan Bintong ini iaitu dari persimpangan Jalan Padang Katong ke persimpangan Jalan Kurung Batang terdapat hampir 20 peniaga nasi lemak.
Bagaimanapun jumlah peniaga didapati lebih ramai di sebelah pagi iaitu 10 peniaga menjual nasi lemak dengan beraneka lauk di gerai masing-masing dan empat kedai makan pula menjual nasi lemak bungkus yang diletakkan oleh peniaga yang menyediakannya di rumah.
Manakala pada waktu petang, ada lima peniaga di mana empat menjual nasi lemak dengan pelbagai pilihan lauk dan seorang lagi menjual nasi lemak bungkus di gerai masing-masing.
Kebanyakan peniaga menyediakan puluhan jenis lauk antaranya yang berasaskan sambal seperti ikan bilis, ikan kering, sardin dan kerang.
Kalau lauk jenis bergoreng pula seperti ayam dan paru, ada juga gulai ikan, udang dan daging serta kurma daging, ayam dan telur.
Hanya nasi lemak bungkus saja berlauk sambal bilis telur, sambal ikan kering, gulai ikan dan gulai udang yang berharga RM1 setiap satu.
Sudah pasti, peminat nasi lemak yang melalui Jalan Bintong berada dalam dilema untuk memilih apabila ada peniaga yang menjual sebelah menyebelah dan ada pula secara berhadapan.
Ada di antara peniaga di sini yang berniaga nasi lemak puluhan tahun dan ada yang baharu setahun jagung.
Sebab percaya kepada rezeki masing-masing telah ditetapkan Allah maka peniaga nasi lemak di sepanjang jalan ini tidak bimbang dari segi persaingan.
Satu-satunya peniaga nasi lemak lelaki di sebelah pagi, Zamany Jamaluddin, 40, berkata, beliau tidak bimbang kerana mempunyai pelanggan tetap sejak berniaga dua setengah tahun yang lalu.
“Saya menyediakan kira-kira 10 jenis lauk untuk dipilih pelanggan,” katanya.
Sementara itu, Kalsom Hassan, 58, juga tidak bimbang sekalipun Jalan Bintong dipenuhi dengan perniagaan nasi lemak di waktu pagi.
“Mungkin saya antara yang baharu iaitu setahun lalu berniaga nasi lemak di jalan ini tetapi sambutan pelanggan tetap menggalakkan,” ujarnya.
Suhaini Yahaya, 44, pula memilih untuk berniaga nasi lemak dengan 12 pilihan lauk di sebelah petang bersama dengan dua anak gadisnya.
Wanita cekal ini menamakan gerainya, “Nasi Lemak Anak Dara Kak Su” supaya pelanggan mudah ingat serta datang membeli lagi. – SM