Jalaluddin tidak setuju dengan cadangan Ngeh Koo Ham
MENERUSI laman facebook rasmi Ahli parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin tidak bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham agar kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
“”Justifikasi beliau bahawa tindakan itu adalah sebagai langkah bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat, adalah tidak berasas dan di luar konteks sebenar.
“Adakah cadangan Ngeh Koo Ham ini membayangkan bahawa masyarakat bukan Islam berasa terancam dan tidak selesa dengan proses memperkasakan undang-undang Islam di negara kita? Jika begitu, harus dijelaskan kepada umum bahawa undang-undang Islam tidak sesekali melibatkan masyarakat bukan Islam. Justeru, tiada asasnya untuk bukan Islam melibatkan diri secara rasmi dan khusus dalam hal tersebut.
“Seperti yang difahami oleh Ngeh sendiri bahawa Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka beliau seharusnya tidak mencampuri urusan yang bekaitan agama Islam sepertimana yang dicatatkan pada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam konteks di Negeri Sembilan pula, umum mengetahui, masyarakat di sini sudah lama hidup dalam prinsip kerukunan yang menekankan rasa saling hormat menghormati tanpa sempadan kaum dan agama. Masing-masing tidak pernah mencampuri urusan agama lain yang dipegang sebagai suatu formula asas hidup dalam masyarakat berbilang kaum serta kepercayaan.
“Justeru, cadangan berkenaan pada saya tidak relevan bagi Negeri Sembilan.
“Ia juga bagaikan ‘meletakkan garam di luka lama’ ketika mana hubungan antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan mula dipulihkan melalui Kerajaan Perpaduan, setelah bermusuhan sejak berpuluh tahun yang lepas.
“”Justeru sekali lagi saya ingin memberi penegasan bahawa cadangan Ngeh Koo Ham ini tidak bersesuaian dengan kerukunan masyarakat kita dan tiada asas yang nyata untuk merealisasikan pandangannya itu”, katanya.