Nasional

JAKPAW penting untuk bersama gerak angkatan keselamatan – Raja Muda Perlis

Keaktifan setiap ahli dalam Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah yang juga dikenali sebagai ‘JAKPAW’ tidak dapat disangkal amat diperlukan oleh negeri dan negara bagi sama-sama membantu Rejimen Askar Wataniah (RAW) Tentera Darat Malaysia khasnya dan Angkatan Simpanan Persekutuan (ASP) secara amnya.

‘Kepada semua ahli ‘JAKPAW’ yang dianugerahkan tauliah kehormat dalam ASP, sesungguhnya ia merupakan penghargaan yang tepat dan disusuli amanah yang lebih besar untuk menyalurkan sumbangan secara berterusan baik dalam aspek kepemimpinan, masa dan bantuan terutama dalam membantu menyelesaikan perkara-perkara logistik yang dihadapi oleh rejimen selaras dengan tujuan dan konsep penubuhan JAKPAW itu sendiri bagi sama-sama menabur bakti mempertahankan kedaulatan tanahair tercinta samada dalam masa aman mahupun perang’.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat merasmikan majlis penamaan ‘Surau Al-Watani’ di Kem Bukit Keteri, Beseri.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Datuk Prof Emeritus Dr Ir Ts Kamarudin Hussin serta para pegawai rejimen berkenaan.

Menurut Mohamad Zaidi, ‘Surau Kem Bukit Keteri yang mampu menampung jemaah berkapasiti lebih kurang 100 orang pada asalnya berfungsi sebagai bangunan penginapan yang kemudiannya diubahsuai menjadi surau rejimen’.

‘Surau ini mendapat senggaraan melalui peruntukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia ada dan sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta orang-orang perseorangan yang budiman’.

Tambah beliau, ‘Setelah sekian lama tiada nama khas, Tuanku Komander telah berkenan dengan pemilihan nama ‘Surau Al-Watani’ yang memberi maksud ‘Tanahair Ku’ dan juga simbolik kepada nama ‘Wataniah’ iaitu di mana anak-anak watan Perlis menjalani latihan ketenteraan secara sukarela.

Dengan penamaan ini diharap akan lebih imarah surau dengan aktiviti serta amal ibadat oleh semua anggota dan staf awam
rejimen serta sekitarnya.

Sejurus selesai majlis penandatanganan plak penamaan rasmi, Tuanku Komander berkenan menunaikan solat fardhu asar secara berjemaah bersama para anggota rejimen.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button