Jaga-jaga ‘Kuda Trojan’ hancurkan Muafakat Nasional
DALAM tempoh beberapa bulan mendatang ini membilang detik pilihan raya umum (PRU) mengejut atau snap election yang dipercayai beberapa pemimpin senior politik akan berlaku, mana-mana ahli UMNO, Pas dan Bersatu pun akan digoda dan dinoda oleh orang tertentu.
Anasir-anasir ini akan menjolok perasaan sehingga kita akan berasa marah dan tidak lagi dapat menimbang sesuatu dengan fikiran yang waras.
Ingatlah apa yang telah terjadi apabila sebahagian besar orang Melayu disogok dengan fitnah dan tuduhan yang tidak berasas terhadap UMNO (yang ditokok tambah selepas tragedi 1MDB).
Pepatah Inggeris berkata, Beware of Greeks bearing gifts atau “Berjaga-jagalah apabila orang Greek membawa hadiah”. Wilayah Troy jatuh ke tangan orang Greek kerana mereka menerima hadiah kuda kayu yang diberi oleh orang Greek.
Begitu juga dengan orang yang akan datang ketika pilihan raya untuk membuat janji-janji yang memikat nafsu rakyat.
Mereka sanggup membuat apa jua janji kerana mereka tahu mereka tidak akan dapat menubuhkan kerajaan yang akan bertanggungjawab menunaikan janji-janji itu.
Mereka berharap akan menang di beberapa kawasan untuk kepentingan diri mereka sahaja.
Harus diingat, tujuan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) kelak adalah untuk membentuk kerajaan. Kerajaan dibentuk untuk kepentingan rakyat dan bukan bagi kepentingan kerajaan atau orang tertentu.
Tetapi jika rakyat tersalah pilih, maka mereka akan mendapat kerajaan dan para pemimpin yang hanya asyik untuk berkuasa sahaja.
Kata pepatah Barat, A people deserves the Government it gets atau lebih kurang maksudnya “Sesuatu bangsa mendapat kerajaan yang padan bagi bangsa itu”.
Jika kita hendak kerajaan yang baik, kita akan dapat kerajaan yang baik, tetapi jika sengaja memilih kerajaan yang buruk, akibatnya mendapat kerajaan yang
buruk.
Pada 1946, orang Melayu tertekan dengan rancangan British mengambil-alih negeri-negeri Melayu.
Dalam ketakutan, mereka bersatu padu dan menentang British.
Tanpa senjata, tanpa wang, tanpa cerdik pandai yang ramai, mereka berjaya.
Senjata mereka hanyalah perpaduan. Semangat yang ada pada 1946 ialah semangat perpaduan – yang menyatupadukan bangsa tanpa mengira raja atau rakyat, daerah atau keturunan.
Malaysia yang dipimpin Barisan Nasional ditunjangi UMNO mempunyai masa depan cerah.
UMNO bukan komunis atau sosialis atau kapitalis. UMNO tidak ekstrem.
Yang jernih diterima, yang keruh dibuang.
UMNO tidak terkongkong dengan apa-apa ideologi. UMNO mengakui kelemahan yang ada dan cuba mengatasi kelemahan itu.
Yang UMNO mahu ialah supaya semua rakyat Malaysia hidup bahagia. Dan terpelihara daripada segala malapetaka ciptaan `fitnah’ manusia dan dihormati oleh dunia.
Sekali lagi, iktibar untuk gabungan Muafakat Nasional (MN).
Ibarat kisah Trojan Horse – ketika tentera Sparta dan Athens membuat muslihat berundur dengan meninggalkan Kuda Trojan sebagai ‘hadiah’ kerana gagal menakluki Kota Troy.
Apabila boneka kuda yang konon-kononnya sebagai persembahan kepada dewa ini dibawa ke dalam kota, rupa-rupanya disembunyikan bala tentera di dalam Kuda Trojan tersebut.
Akhirnya Tentera Athens dan Sparta berjaya masuk kerana pintu kota dapat dibuka dari dalam.-SM.