Itu pandangan peribadi Ku Li, bukan keputusan MT
GESAAN Tengku Razaleigh Hamzah agar anggota Kabinet UMNO melepaskan jawatan mereka dalam kerajaan hanyalah pandangan peribadinya.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Naina Merican berkata, beliau akan melepaskan jawatannya jika itu adalah keputusan rasmi parti.
“Pendapatnya (Razaleigh) adalah pandangan peribadi. Dalam parti kami, kami membuat keputusan berdasarkan konsensus oleh Majlis Tertinggi (MT).
“Saya orang parti. Saya akan mematuhi keputusan parti itu, apa pun itu,” kata Reezal kepada wartawan ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini.
Terdahulu, Tengku Razaleigh berkata, semua menteri UMNO, timbalan menteri dan mereka yang telah dilantik sebagai ketua GLC mesti melepaskan jawatan segera setelah parti membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
Reezal berkata, MT telah memutuskan bahawa Ahli Parlimen Barisan Nasional akan kekal dalam pemerintahan sekarang sehingga Parlimen dibubarkan. – SM