Nasional

Isyarat positif dari Perdana Menteri Thai untuk selesaikan konflik di selatan negara itu – Anwar

PERDANA Menteri mengaku ada isyarat positif ditunjukkan rakan sejawatnya di Thailand, Prayuth Chan o-cha, dalam usaha menamatkan konflik tidak berkesudahan di selatan Thailand yang hingga kini dilaporkan sudah meragut lebih 7,000 nyawa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim  berkata, kesediaan itu disuarakan Prayuth melalui mesyuarat dua hala antara mereka, semalam, dengan penerimaan terhadap proses rundingan damai konflik itu juga dilihat lebih terbuka.

“Berdasarkan perbincangan kami, Perdana Menteri Thailand nampak ada kesediaan (untuk menyelesaikan konflik berlarutan di selatan Thailand).

“Kalau dulu, sentuh (isu ini) agak sensitif dan tidak boleh secara terbuka. Namun sekarang, ia nampak lebih terbuka dan kita (dapat) bincang dengan lebih baik,” katanya kepada media Malaysia selepas menyelesaikan lawatan rasmi dua hari ke Thailand, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, untuk menyelesaikan konflik selatan Thailand, bukan hanya membabitkan peringkat Perdana Menteri tetapi juga banyak lagi pihak di segenap lapisan.

“Tidak boleh selesai peringkat itu saja… ada tentera, polis, ketua agama, masyarakat, (aspek) pendidikan, risikan, NGO (badan bukan kerajaan).

“Apapun, kita rancang supaya (usaha menyelesaikan konflik ini) sampai ke bawah kerana jaringan di situ cukup kuat,” katanya sambil menegaskan kelunturan kepercayaan yang menjadi antara punca turut bermula dari atas.

Jumaat lalu, Tan Sri Zulkilfi Zainal Abidin selaku Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi proses dialog damai selatan Thailand, dilapor mengadakan kunjungan hormat ke atas Jeneral Wanlop Ruksanaoh yang mengetuai Panel Dialog Keamanan bagi Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP).

Pusingan keenam rundingan damai konflik selatan Thailand dijangka diteruskan di Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Februari ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button