Isyarat Anwar kepada Mahathir #StayAtHome
HARI INI, 17 Mei 2020 melakar sejarah baru bagi Kedah dan Pas iaitu pertukaran Menteri Besar buat kesekian kalinya, dengan Pas kembali menguasai pentadbiran negeri, selain menjadi negeri ketiga diterajui Pas selepas Kelantan dan Terengganu.
Peristiwa hari ini mengesahkan Muafakat Nasional UMNO-Pas sebagai sebuah pergerakan politik Melayu yang semakin utuh yang menerima sokongan daripada orang Melayu yang kuat.
Ini sekali gus menepati perkara yang dibimbangi Pakatan Harapan bahawa mereka sudah mula terhakis keyakinan kawasan pengundi majoriti Melayu di Pantai Timur dan Utara, kecuali Pulau Pinang.
Perkembangan hari ini di Kedah juga boleh dilihat pada rentetan kejadian yang cukup dramatik dalam arena politik negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan mulai 4 Mei lalu.
Perkara paling signifikan ialah:
- pemakluman Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Pakatan Harapan kini diterajui beliau, dan juga peranan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
- Cetusan hati Tun Dr. Mahathir Mohamad yang `duka lara’ melihat orang Melayu berterusan menganggap DAP sebagai musuh.
KELUAR DARI BAYANG-BAYANG TUN
Kepada pemerhati politik, langkah Anwar mengisytiharkan dirinya sebagai ketua adalah tepat, walaupun mungkin agak terlambat kerana kuasa PH sudah tidak ada.
Sejak memenangi PRU14 pada Mei 2018, Anwar memberi jalan kepada Mahathir menjadi perdana menteri dengan janji akan melepaskannya dalam tempoh dua tahun. Hanya setelah didapati Mahathir tiada pelan berbuat demikian, baru awal tahun ini Anwar memberi tekanan.
Tekanan yang dilakukan di dalam mesyuarat Majlis Presiden pada Februari lalu, Anwar dibantu geng-geng dalam PH yang menggunakan taktik menghentak meja dengan yang lain meninggi suara dan menunjuk jari ke muka Mahathir. Ia bukan saja untuk memalukan Mahathir tetapi paling utama supaya beliau menyerahkan kuasa kepada Anwar.
Apa yang berlaku, adalah sebaliknya. Mahathir letak jawatan sekaligus PH tumbang dengan sendirinya. Fakta di atas nampaknya tidak dihirau oleh penyokong PH bahawa kejatuhan kerajaan PH adalah kerana perebutan kuasa dalaman pakatan.
Dalam keadaan negara masih dibelenggu COVID-19, penyokong PH memilih menggunakan ayat `pintu belakang’ atau `bumbung bocor’ terhadap kerajaan Perikatan Nasional. Salah Majlis Presiden PH langsung tidak dihisab.
Faktanya, Anwar masih tidak menjadi perdana menteri. Pada 29 Februari 2020 akan kekal tersemat di minda rakyat bahawa ia merupakan `Sabtu penuh haru-biru’. Letak jawatan, tak jadi letak, sokong, tak jadi sokong. Fakta ini juga tidak dipedulikan penyokong PH tetapi cenderung melihat kepada `Langkah Sheraton’ kemudiannya.
Maka, sudah sampai masanya untuk Anwar keluar dari bayang-bayang Mahathir. Betullah selama ini Anwar beri laluan kepada Mahathir sebagai mengiktiraf faktor Mahathirlah menjadi punca utama menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.
Memang janggal membiarkan Mahathir jadi Perdana Menteri sedangkan partinya, Bersatu sekadar 13 kerusi dalam pakatan PH. Sekarang Bersatu sudah berdua, fraksi Mahathir hanya ada empat kerusi setelah majoriti menuruti Tan Sri Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan PN bersama UMNO-Pas, GPS, MCA dan MIC.
Sekarang bukan masa untuk sentimental kerana kuasa sudah tiada lagi pada PH. Ini mendesak Anwar untuk bangkit daripada kecelaruan dan mengisytiharkan diri sebagai ketua pembangkang, sekali gus difahami bahawa Mahathir sudah tiada nilai bagi PH bagi berhadapan PRU15. Ringkasnya Anwar beritahu Mahathir supaya #StayAtHome.
Kalangan PH sendiri menyedari kedudukan Mahathir di dalam Bersatu pun sangat rapuh. Muhyiddin mungkin menanti masa sahaja untuk memecat beliau dengan lima lagi ahli parlimen jika berterusan menentangnya secara terbuka. Mungkin Muhyiddin memberi masa untuk mereka berfikir. Termasuklah kejadian di Kedah. Datuk Mukhriz Mahathir tidak lagi dapat bertahan sebagai MB. Ini isyarat ketara.
MAHATHIR BUKAN LAGI ULTRA MELAYU?
Pada 12 Mei lalu, menulis di dalam blog peribadi beliau, Mahathir kecewa orang Melayu memusuhi DAP. Bagi generasi yang membaca The Malay Dilemma yang ditulis oleh Mahathir mengenai kesulitan hidup orang Melayu, kemudian mengikuti rapat ketrampilannya di dalam UMNO, pernyataan mesra-DAP ini bukan sahaja menyedihkan tetapi mirip kepada pengkhianatan kepada orang Melayu.
Siapa sangka Mahathir boleh hilang ciri ultra-Melayunya. Kalahlah beliau kepada pendokong komunis kerana `once a communist, always a communist’ sebab itu hanya waktu PH memerintah, puak komunis berjaya membawa masuk abu Chin Peng kemudian mengadakan acara penghormatan pula.
Peduli apa hati dan perasaan polis dan tentera Malaysia yang berjuang menentang komunis pada zaman darurat. Jangan sesiapa lupakan fakta ini.
Tindakan Mahathir mendakap erat DAP di kala usia lanjut ini, amat menghiris hati bukan sahaja orang Melayu yang tebal semangat patriotisme tetapi juga orang Melayu yang tersedar betapa teruknya DAP mentadbir negara selama 22 bulan.
Malah perlakuan Mahathir ini berkait rapat dengan keengganan Anwar bernaung di bawahnya ketika parti Bersatu sudah tiada lagi pengaruh di dalam PH, malah memberontak menubuhkan kerajaan dengan parti lawan. Anaknya di Kedah pula sudah kena coup d’état senyap.
Ramai melihat Mahathir sudah tiada makna lagi di dalam PH. Satu-satunya cara ialah memenangi hati DAP. Beliau tau PKR tidak sesekali akan menerimanya. PKR itu sendiri dilahirkan sebagai melawan Mahathir. Tidak sesekali PKR boleh berpusing kompas seperti parti-parti lain.
Paling tidak, Mahathir mungkin berasa beliau masih boleh meraih simpati kawan lamanya, Lim Kit Siang yang sangat berpengaruh di dalam DAP. Ini demi kesinambungan hayat politik semata-mata kerana Mahathir yakin beliau boleh mengulangi magik PRU14 pada PRU15, kurang tiga tahun lagi.
Dan Kit Siang mengalu-alukan Mahathir. Tidak kisahlah berapa kali Kit Siang disumbat ke penjara, ditahan ISA tanpa bicara di Kamunting, Perak. Sebab Kit Siang melihat Mahathir masih ada gunanya untuk memecah-belahkan undi Melayu.
Apakah mungkin jika dipecat dari Bersatu, Mahathir akan dipelawa menyertai DAP? To believe a thing impossible is to make it so, kata pepatah Perancis yang menyeramkan jika kiasan menyertai DAP ini benar-benar menjadi realiti suatu masa tidak lama lagi. – SM