Politik

PN tebuk atap, rampas kuasa ketika nyawa rakyat terancam

PAKATAN Nasional (PN) mengambil kesempatan ketika nyawa Rakyat terancam, petugas barisan hadapan bertungkus lumus bertarung nyawa untuk menyelamatkan pesakit dan umat Islam bersiap untuk menyambut Aidilfitri.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, PN tidak ada sekelumit pun timbang rasa kepada Rakyat yang teruk menderita akibat COVID-19.

“Dalam keadaan di mana nyawa rakyat terancam, petugas barisan hadapan bertungkus lumus bertarung nyawa untuk menyelamatkan pesakit, dan ditambah lagi dengan puasa, pihak PN terus menebuk atap untuk merampas kuasa.

“Dinyatakan bahawa muslihat ini hendak diselesaikan sebelum 18 Mei, 2020, walhal tarikh itu tiada kena mengena dengan Kedah.

“Ia hanya signifikan di Dewan Rakyat di mana diusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Itupun, Dewan Rakyat telah tidak membenarkan usul itu dibahas dan diundi pada hari tersebut.

“Maka tarikh itu tidak sepatutnya berbangkit dalam soal peralihan kuasa Kerajaan Kedah. Mungkinkah juga mereka bersifat gelojoh untuk menjatuhkan Menteri Besar Bersatu sebagai hadiah hari jadi Perdana Menteri pada 16 Mei?

“Tidak ada sekelumit pun timbang rasa kepada Rakyat yang teruk menderita akibat COVID-19. Keadaan pasca-COVID pula sangat mencemaskan. Negara maju seperti Jerman kini menghadapi kemelesetan ekonomi. Bagaimana pula dengan Kedah?” Katanya dalam kenyataan yang dimuat baik di Facebook Mukhriz Mahathir FC.

Katanya, dalam keadaan sekarang lebih wajar untuk membenarkan kerajaan PH Kedah teruskan dengan kerja-kerja baik dalam menangani wabak COVID-19 ini, atau membenarkan umat Islam berpuasa dengan aman, dan bergembira menanti Hari Raya.

Katanya, negara mengiktiraf bahawa dari segi jumlah penduduk, Kedah merupakan negeri yang terbaik dalam usaha membendung penularan jangkitan ini.

“Tahniah dan syabas kami ucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha memerangi COVID-19. Anda adalah wira dan wirawati yang sebenar,” katanya.

Katanya, setelah Kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan jatuh kepada kerajaan baharu, beberapa negeri juga menyaksikan perubahan kerajaan.

Di Kedah pula pada awalnya katanya, beliau telah mengambil pendirian untuk mengekalkan kerjasama politik Bersama PH Kedah, dan meneruskan Kerajaan Kedah yang sedia ada.

“Kepimpinan Pas Kedah telah memberi jaminan kepada saya bahawa mereka juga tidak akan mendesak ADUN-ADUN PH untuk melompat ke pihak mereka, dan bersetuju bahawa saya terus berkhidmat sebagai Menteri Besar hingga akhir penggal ke 14 ini.

“Permohonan mereka adalah agar Kerajaan PH Kedah tidak memandang mereka semata-mata sebagai pembangkang, dan sebaliknya memberikan peruntukan tambahan bagi Pusat-pusat Khidmat DUN Pas dan UMNO.

“Kerajaan PH Kedah adalah yang pertama menyediakan peruntukan untuk ADUN-ADUN Pembangkang. Saya sendiri telah mengesyorkan peruntukan tambahan itu dan ianya diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Kedah bagi menyahut permohonan pihak pembangkang itu.

“Jelas sifat timbang rasa kami untuk menunaikan permohonan PAS itu tidak langsung diambilkira apabila mereka terus melayan permohonan beberapa ADUN Kerajaan yang berhajat melompat ke pihak mereka,” jelas beliau.

Namun katanya, pergolakan politik kepartian telah menyebabkan dua ADUN dari PKR meninggalkan parti mereka, sekali gus menyebabkan hilangnya majoriti yang ada pada gabungan Bersatu dan PH.

“Susulan itu, empat lagi ADUN Bersatu juga telah menerima arahan dari Presiden Bersatu untuk lompat kepada PN. Maka dengan itu, pihak lawan kini mempunyai 23 kerusi berbanding 13 dari PH termasuk dua dari Bersatu,” kata Mukhriz.

“Saya redha dengan keadaan ini, dan dengan relahati bersedia melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar. Apa juga perkembangan politik yang mungkin atau tidak berlaku di peringkat Persekutuan, saya dan rakan-rakan PH serta YB Dato’ Wira Ir Amiruddin Hamzah bertekad untuk bergerak sebagai pembangkang sehingga Dewan Undangan Negeri Kedah dibubar – selewat-lewatnya pada bulan Mei 2023.

“Kami tidak akan melayan mana-mana pihak dari kalangan ADUN-ADUN yang telah mengkhianati kepercayaan Rakyat Kedah, yang tiba-tiba hendak balik ke pangkuan kami. Kekallah mereka di sana bersama rakan-rakan subahat mereka, tiada maaf bagimu! Dan kekallah kami bersama rakan-rakan seperjuangan Pakatan Harapan yang telah menewaskan BN dulu.

“Sejujurnya saya menyatakan bahawa saya dan seluruh Kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan tugas dan tanggungjawab semata-mata untuk negeri yang kami sayangi, dan Rakyat yang kami sanjungi. Tidak ada kepentingan peribadi yang diberikan pertimbangan mengatasi Rakyat.

“Saya ingin mengucapkan seikhlas-ikhlas terima kasih kerana pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di Kedah yang telah memberikan kerjasama yang amat baik dalam merealisasikan dasar dan pendekatan kami. Terima kasih khas saya tujukan kepada seluruh Rakyat Kedah yang memberikan kepercayaan kepada kami untuk membentuk Kerajaan baru pada tahun 2018, dan menerima halatuju dan cara pentadbiran PH,” katanya. – SM

(Visited 270 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button