Politik

Isu TH: Dialog Mujahid, Asyraf Wajdi bukan mencari kemenangan tetapi demi ummah

BEKAS Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Islam Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan dialognya dengan Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkaitan isu Tabung Haji tiada kaitan untuk mencari kemenangan atau kekalahan antara mereka.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, dialog antara beliau dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Islam itu demi kebaikan dan kepentingan ummah.

“Buat kekanda YB Dr. Mujahid Yusof Rawa mungkin adinda tidak pandai menulis warkah berjela-jela seperti warkah kekanda dari Cordoba, namun niat adinda masih berharap kekanda dapat menerima pelawaan untuk kita berdialog isu-isu menyentuh Tabung Haji.

“Bagi manfaat 9.4 Juta pendeposit Tabung Haji, apa salahnya kita berdialog secara tertib dan beradab. Bukan kalah dan menang menjadi ukuran, hanya untuk mencari kebenaran dan kebaikan demi kepentingan ummah,” kata Asyraf Wajdi.

Asyraf Wajdi mengulas penolakan Mujahid untuk berdialog dengan beliau mengenai isu berkaitan institusi umat Islam di bawah jagaan beliau.

Mujahid hari ini berkata, dia bukanlah orang yang tepat untuk menyertai dialog anjuran sebuah stesyen televisyen swasta.

Menurut Mujahid, memandangkan sebagai menteri, beliau telah menyerahkan tanggungjawab menguruskan anak syarikat Lembaga Tabung Haji (TH) itu kepada mereka yang profesional.

“THP ialah entiti perniagaan. Sebagai menteri, saya arahkan entiti perniagaan ini biarlah orang profesional yang jalankan.

“Saya tak ada campur tangan kalau dia nak dialog, (tapi) bukan dengan saya. “Dia (kena) berdialoglah dengan orang kendalikan perniagaan, kenapa saya?” soalnya ketika menjawab soalan pemberita.

Tambah Mujahid, sebagai menteri, dia perlu lebih memikirkan kepentingan kira-kira 9.4 juta pendeposit dengan nilai tabungan lebih RM70 bilion dalam TH.

Justeru, sekiranya Asyraf jujur mahu berdialog tentang TH dan THP, Mujahid berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk mengatur pertemuan tersebut antara Asyraf dengan golongan pakar dan profesional yang terlibat langsung dalam urusan perniagaan.

“Lepas tu di luar dia nak cakap apa itu masalah dialah. Saya pun faham dia ketua pemuda, saya pun faham dia nak tunjuk kata dia bersuara.Saya pun orang politik,” katanya lagi.

Asyraf Wajdi pada 24 Januari mempersoalkan penjualan aset Tabung Haji Plantation berupa 6,513.80 hektar ladang kelapa sawit di Bintulu dan Sibu, Sarawak.

Dalam satu hantaran di Facebooknya pada 25 Januari lalu, Asyraf Wajdi memberitahu pihak Astro Awani telah menghubungi beliau untuk mengaturkan satu sesi dialog dengan Mujahid. Dialog tersebut mengenai isu-isu menyentuh Tabung Haji.

“Saya terus menyatakan persetujuan, cuma menanti jawapan pihak Dr. Mujahid. Harap-harap beliau terima pelawaan tersebut demi manfaat ummah,” kata Asyraf Wajdi.-SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button