BanjirNasional

Isu balak: Pembela setuju kenyataan Menteri Alam Sekitar

KERAJAAN Negeri Pahang disifatkan sebagai tidak sehaluan dengan pandangan Menteri Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung isu pembalakan.

Tuan Ibrahim baru-baru ini mengatakan bersetuju dengan pandangan pakar mengenai isu pembalakan dan penggondolan hutan menyebabkan banjir begitu teruk.

Pandangan itu kemudian diterima baik Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) yang menyatakan satu tindakan drastik perlu diambil.

Termasuklah menghentikan aktiviti pembalakan dan menyita tanah digazet sebagai hutan simpan yang diceroboh secara haram bagi tujuan penanaman durian musang king.

“Oleh itu, ini menjadi hujah yang amat kuat untuk kerajaan bertindak lebih agresif dan tegas terhadap penceroboh-penceroboh hutan yang berlaku dengan sangat banyak di hampir semua daerah di Pahang.

“Terutama dalam kes kartel durian musang king di Raub.

“Saya merayu agar kerajaan pusat dapat memikirkan sesuatu untuk perkara ini dan kami sedia memberikan input dan berbesar hati untuk memberikan kerjasama.”

Kata Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya, dalam satu kenyataan hari ini yang mengulas satu laporan akhbar mengenai isu pembalakan haram.

Dalam laporan tersebut, Tuan Ibrahim dilapor berkata aktiviti pembukaan hutan yang menyumbang kepada bencana alam berkenaan ialah pembalakan dan projek durian musang king.

Kata Aminuddin, kenyataan Tuan Ibrahim itu selari dengan apa yang diperkatakan di Mahkamah Tinggi Kuantan pada tahun lalu bahawa kawasan yang diceroboh untuk menanam musang king di Raub adalah kawasan tadahan air, dan kerajaan negeri harus bertindak serius.

Terdahulu, beliau tidak bersetuju dengan penafian yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pahang apabila menyatakan aktiviti pembalakan dibuat bukan punca kepada banjir lumpur teruk melanda negeri itu.

Walau bagaimanapun, Aminuddin menyambut baik cadangan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dipinda.

Pindaan tersebut bertujuan membenarkan kerajaan pusat berkuasa menjaga tanah dan hutan di negara ini.

“Saya berpendapat agar cadangan ini sangat bernas, perlu disokong dan perlu diangkat.

“Selain itu, cadangan ini menarik perhatian saya kerana selari juga dengan salah satu tuntutan Pembela terhadap kerajaan pusat agar suatu kementerian khas ditubuhkan bagi menjaga tanah-tanah daripada diceroboh dan dijual sesuka hati

“Terutamanya tanah rizab Melayu dan tanah adat. Diharap agar kerajaan mempertimbangkan cadangan ini, melihat apa segala apa yang terjadi kini,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button