Islam sentiasa relevan dalam kehidupan – Raja Muda Perlis
Islam adalah suatu agama yang ditegakkan atas landasan hujah yang benar. Ia ditegakkan melalui panduan Al Quran dan As Sunnah. Islam juga adalah suatu agama fitrah yang sentiasa relevan dalam kehidupan umat manusia sepanjang zaman, tanpa mengira tempat, masa, mahupun bangsa.
Sesungguhnya kedatangan Islam adalah merupakan rahmat terbesar bagi umat manusia. Dengan datangnya Islam ke tanah air kita, maka ia telah memperbaiki dan memurnikan kehidupan manusia dalam segala aspek. Ajaran Islam telah mencerdikkan akal manusiawi yang kadang kala terbelenggu dengan kefahaman, adat dan budaya karut marut yang merendahkan nilai intelektual dan kerohanian manusia.
Amalan-amalan syirik dan khurafat kadang kala menjadi sebahagian adat kebiasaan dalam kehidupan masyarakat setempat.
Dengan datangnya Islam maka ia telah menyucikan segala perkara ini dengan memurnikan kembali adat dan budaya mengikut panduan syariat.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Persidangan Majlis Imuwan Nusantara (MIN) Kali Kedua Bagi Tahun 2024 yang diadakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri, Kangar.
Persidangan dengan tema utama iaitu “Imbangan Antara Agama Dan Budaya” melibatkan para peserta dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Vietnam tersebut dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Tuanku Raja Muda percaya tema yang dipilih ini adalah sesuatu yang amat penting untuk dibahaskan dalam kita mengimbangi antara prinsip agama dan adat budaya yang terdapat dalam masyarakat pada hari ini.
Melalui keputusan yang dihasilkan melalui persidangan ini juga diharapkan mampu memberikan gambaran kedudukan budaya mengikut garis panduan Islam. Tuanku Syed Faizuddin Putra juga yakin agama Islam yang mulia ini tidak sama sekali menolak unsur-unsur adat dan kebudayaan selagi mana ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang murni ini.