Luar Negara

Iron Dome ‘bocor’, langit Israel tidak lagi kebal

Kemampuan pertahanan ‘Iron Dome’ atau ‘kubah besi’ Israel dipersoalkan selepas roket yang dilancarkan oleh pejuang Palestin selama beberapa hari ini menembusi langit negara yang dicipta oleh penjajah barat itu.

Sistem pertahanan yang dicipta khas Israel bagi menghalang serangan roket dari udara itu kini menunjukkan bahawa Iron Dome hanya berupaya memintas jumlah roket dalam bilangan yang kecil.

Sebuah portal berita Israel, The Jerusalem Post melaporkan, pejuang Hamas berjaya melepaskan lebih 100 roket dalam tempoh seminit termasuk beberapa dozen ke arah ibu negara Israel, Tel Aviv dalam tempoh 24 jam.

Kemampuan serangan roket sebuah pertubuhan pejuang Palestin Hamas ke arah Israel mengejutkan banyak pihak di negara itu.

“Ini adalah lonjakan besar yang digunakan untuk menyerang Tel Aviv dan kemampuan kumpulan Hamas untuk menembakkan roket dalam jumlah yang banyak secara serentak mengejutkan,” lapor portal itu.

Justeru menurut portal itu, selama ini Israel hanya memperbesar-besarkan keupayaan pertahanan Iron Dome.

Kenyataannya adalah bahawa walaupun dalam tempoh 24 jam lalu walaupun sedikit roket Hamas sampai ke koridor Tel Aviv tetapi keupayaan tentera pejuang Palestin itu menghujani roket di langit Israel telah menunjukkan peningkatan di luar jangkaan.

“Tetapi jika doktrin Israel setelah Perang Gaza selama 50 hari pada 2014 adalah bahawa ia dapat bertahan lama daripada serangan Hamas kerana Iron Dome ini mungkin tidak lagi benar.

“Satu persoalan besar apakah benar anggaran perisikan Israel bahawa Hamas memiliki beberapa ratus roket yang dapat mencapai koridor Tel Aviv.

“Sekiranya anggaran itu benar, maka Hamas mungkin telah menghabiskan banyak senjata itu, bahkan jika memiliki ribuan lagi roket yang dapat melanda Beersheba, Ashdod dan koridor Gaza,” lapornya.

Jika Hamas memiliki lebih banyak roket jarak jauh ia dapat mempengaruhi rancangan perang Israel mengenai berapa lama konflik tersebut dapat bertahan dan siapa yang mempunyai kelebihan dari segi waktu.

Kejayaan dan keupayaan serangan Hamas menembusi Iron Dome Israel ternyata membimbangkan negara itu kerana kelemahan itu juga dihidu oleh musuh Israel iaitu Hizbullah dan Iran.

“Sekiranya Hamas yang kerdil dapat menembusi perisai peluru berpandu dengan 100 roket dalam beberapa minit dua kali sehari, berapa banyak lagi kerosakan yang boleh dilakukan oleh Hizbullah dan Iran yang dapat melancarkan dengan roket yang lebih kuat dan jumlah yang lebih besar?” kata portal tersebut.

Pertubuhan Hizbullah yang aktif di Lubnan bersempadan dengan Israel dikatakan mempunyai lebih 150,000 roket termasuk jenis yang telah dipertingkatkan.

Dengan jumlah itu Hizbullah boleh melancarkan 500 roket sehari ke arah Israel dengan mudah.

Ketika ini seramai 6 rakyat Israel maut akibat serangan roket pejuang Hamas sementara di pihak Palestin 43 orang telah terkorban di bom askar Israel.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button