Integriti prinsip moral yang harus dipelihara – Raja Muda Perlis
Integriti perlu dilihat sebagai satu komitmen terhadap prinsip moral yang tinggi dalam memikul dan menjalankan sesuatu tugas sama ada pada peringkat individu atau organisasi
Pada peringkat individu, penghayatan konsep integriti bererti seseorang warga kerja perlu menunjukkan keselarasan di antara apa yang dikatakan dengan apa yang dilakukan, bertindak menurut prinsip moral, etika dan undang-undang, mengutamakan kepentingan umum melebihi kehendak dirinya sendiri dan melakukan kerja dengan kualiti yang bermutu dan tepat.
Manakala di peringkat organisasi, penghayatan integriti perkhidmatan terjelma dalam bentuk perumusan dan pelaksanaan kod etika, piagam pelanggan, proses kerja dan pematuhan terhadap amalan terbaik.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut hebahan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat MAIPs secara tunai, beras fidyah serta bekalan makanan mentah kepada Hamzah Ibrahim, 58 tahun di No.5, Lorong Seri Mawar, Kampung Jejawi Dalam, Arau baru-baru ini.
Hamzah merupakan seorang peniaga pasar malam yang selama hampir dua tahun ini tidak dapat berniaga. Beliau menerima sumbangan dari anak-anak untuk menyara kehidupan dan juga adalah dalam senarai penerima ‘Bantuan Zakat Fitrah MAIPs. Hamzah tinggal bersama isteri yang kakinya telah terpaksa dipotong sebelum ini akibat mengidap penyakit kencing manis.
Hadir mengiringi baginda ialah Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf, Hartanah dan Mal Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazri Mat Rejab.
Tegas Tuanku Raja Muda lagi, ‘Setiap individu bertanggungjawab terhadap pembentukan integriti diri mereka. Individu itu adalah bermoral apabila melakukan tindakan yang betul kerana mengetahui tindakan itu adalah betul secara konsisten dan sebati dengan dirinya. Oleh itu, adalah sangat penting untuk membentuk ‘Mentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ dalam diri masing-masing dengan nilai moral yang baik melalui kebiasaan dan latihan.