Berita

JKSN akan anjur faraid secara dalam talian

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) Perlis akan menganjurkan ‘Faraid Simple Tier (eFaST) Secara Dalam Talian Tahun 2021’ dari Dewan Utama, Kompleks Darul Qada’ Tuanku Syed Sirajuddin JKSN Perlis di Kangar pada pagi khamis ini, 11 November 2021.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah berkenan menerima undangan daripada Ketua Hakim Syarie Negeri, Ibrahim Deris untuk berangkat hadir menyempurnakan majlis perasmian seminar tersebut.

Tuanku Raja Muda ketika memperkenankan keberangkatan, merakamkan setinggi penghargaan serta tahniah kepada seluruh warga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri kerana telah berjaya membangunkan Sistem eFaST berkenaan iaitu satu kaedah pengiraan faraid selapis.

Baginda juga melihat pembangunan sistem eFaST ini InsyaAllah dapat meningkatkan lagi keprihatinan ahli waris dalam pengurusan harta pusaka mereka. Sistem ini pastinya akan memudahkan ahli waris untuk mendapatkan perintah faraid dalam tempoh masa yang lebih singkat. Justeru, ia akan menggalakkan ahli waris untuk segera tampil ke hadapan bagi menyelesaikan isu pembahagian harta pusaka dalam tempoh yang sewajarnya.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyeru kepada seluruh pegawai dan juga kakitangan JKSNPs agar sentiasalah memberikan perkhidmatan yang terbaik serta ikhlas kepada rakyat Perlis dan bersama-samalah membantu serta memikul peranan dalam pembangunan Ummah dengan sebaik mungkin.


(Visited 71 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button