Institusi diraja bawa kestabilan dan kemakmuran
‘’Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada” menjadi tajuk slot ketiga ‘Webinar Yayasan Tuanku Fauziah Sempena 20 Tahun Penubuhan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)’ yang berlangsung di Facebook Live Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) semalam yang disampaikan oleh Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab. Aziz.
Shamrahayu berkata, sesebuah negara mesti memiliki raja atau mengamalkan Sistem Beraja dan pastinya ada rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya, agama, etnik, dan sebagainya di mana rakyat menjadi tunjang kepada kedaulatan raja dan raja pula menjadi penaung dan ‘pokok’ yang melindungi dari segi kesejahteraan dan menjamin keselamatan rakyatnya. Maka, raja dan rakyat ini merupakan satu frasa yang sangat penting untuk difahami mahasiswa mahasiswi yang akan menjadi pemimpin di masa hadapan.
Sejarah juga menunjukkan bahawa Sistem Beraja ini amat bermakna. Satu sistem yang telah lama diamalkan sehingga kita mampu menghadapi cabaran-cabaran zaman penjajahan sehinggalah kita mencapai kemerdekaan pada 1957.
Tidak dapat dinafikan bahawa Institusi Diraja membawa kepada kestabilan dan mendatangkan kemakmuran kepada rakyat. Sistem beraja adalah sistem pemerintahan yang ‘malar segar’ atau sesuai diamalkan pada setiap masa. Persoalannya, mampukah kita mempertahankan kemerdekaan ini dalam tempoh 100 tahun lagi, tegasnya.
Daripada penelitian beliau, kebanyakkan negara yang mempunyai keadaan yang aman dan stabil, mempunyai jati diri, kestabilan politik dan ekonomi, kebanyakkannya adalah di kalangan negara-negara yang mengamalkan Sistem Beraja. Institusi DiRaja memberikan kemakmuran dan keadilan kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan budaya.
Shamrahayu berkata, cita-cita negara adalah untuk mencapai perpaduan yang erat. Tunjang kepada perpaduan itu adalah Institusi Diraja. Raja tidak mendiskriminasi antara rakyat. Itu hakikat yang perlu diterima oleh semua, walaupun Raja-Raja diistilahkan sebagai Raja-Raja Melayu, tetapi Institusi Diraja itu tidak memandang perbezaan dalam kalangan keturunan, agama, bangsa, dan etnik rakyatnya.
Tambahnya, Raja itu menjadi ‘tali’ yang mengikat segala aneka ragam perbezaan. Maka tidak kira dari mana keturunan atau asal seseorang warga negara Malaysia itu, semuanya berada di bawah Institusi Diraja. Dalam prinsip Rukun Negara kita semua harus setia kepada Raja dan Negara. Berdiri teguhnya Institusi Diraja itu adalah dengan sokongan rakyatnya.
Beliau berkata, dalam sisitem pentadbiran negara, kesediaan raja-raja membenarkan pelaksanaan Sistem Demokrasi dilaksanakan di negara ini serta menerima sekatan-sekatan dan had-had kuasa baginda adalah satu pengorbanan yang besar dan tidak ternilai. Pada beliau, Institusi Beraja telah memberikan sumbangan yang besar dengan mengorbankan kedudukan mereka demi negara.
Terdahulu berangkat sama hadir ke webinar yang dianjurkan oleh Bahagian Kajian Institusi Raja dan Komuniti, Pusat Keusahawanan, Jaringan Industri dan Masyarakat (CEICnet) UniMAP ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penasihat DiRaja YTF dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pengerusi YTF selaku perasmi program.
Tambah Shamrahayu, Institusi Beraja menjadi peimbang antara kepentingan rakyat, negeri, negara, dan parti-parti politik. Institusi Beraja menjadi “semak dan imbang” untuk rakyat mendapat keadilan. Kepentingan rakyat menjadi suatu yang amat penting dalam Institusi Diraja. Orang politik bersilih ganti, tetapi raja dilahirkan sebagai raja yang satu dan menjadi rujukan. Sistem Diraja dan Sistem Demokrasi boleh dijalankan secara serentak, namun jika berlaku kegagalan maka Institusi Diraja tetap menjadi rujukan.
Di akhir perkongsian beliau meninggalkan kata-kata bermakna berikut: “Jangan diroboh rumah pusaka, belum tahu kita ada batu bata untuk membinanya semula, kalau kita telah mengerti tentang pengorbanan dan sumbangan yang diberikan oleh Institusi Diraja, jaganlah kita cuba merobohkan Institusi Diraja ini. Sebab kita belum tahu adakah yang menggantikannya itu adalah batu bata yang lebih kukuh untuk kita membina semula rumah pusaka ini. Maka jagalah Institusi Diraja ini”.
“Oleh itu, menjadi tanggungjawab mahasiswa mahasiwi untuk kekalkan institusi ini sehingga bila-bila. Kekalkan supaya kita dapat mencapai satu tahap ketamadunan yang boleh kekal dengan ciri-ciri yang ada dalam Institusi Diraja. Bila ada Institusi Diraja, adanya institusi agama, adanya budi pekerti mulia, adanya kesopanan, adanya nilai-nilai warisan bangsa. ‘Tak kan hilang Melayu di dunia’, bukan fizikal Melayu tetapi nilai-nailai Melayu itu”.