Institusi bank wajar laksanakan moratorium untuk semua kategori peminjam
KERAJAAN digesa mewajibkan semua Institusi perbankan melaksanakan moratorium secara automatik kepada semua peminjam dalam usaha meringankan beban ekonomi rakyat.
Menurut EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin, pemberian morotarium kepada semua kategori peminjam tidak akan merugikan institusi perbankan kerana kelonggaran pembayaran itu tidak akan mengurangkan faedah bank.
“Terdapat beberapa institusi kewangan yang telah menawarkan moratorium seperti BSN, Bank Rakyat, PUNB, Coop Bank Pertama dan beberapa bank lagi.
“Justeru kerajaan wajar mengarahkan kesemua bank memberikan moratorium untuk membantu rakyat yang majoritinya mempunyai ikatan pinjaman dengan institusi perbankan”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, lebih banyak impak positif sekiranya kemudahan moratorium diberikan kepada semua kategori peminjam, sekaligus dapat membantu proses pemulihan ekonomi negara.
Jelasnya, kerajaan perlu bertindak tegas dan berani untuk mewajibkan semua institusi perbankan memberikan moratorium tanpa faedah secara automatik kepada semua peminjam yang masih terkesan dengan pemotongan gaji dan hilang sumber pendapatan.
“Lanjutan moratorium itu tidak akan memberi kesan yang besar kepada pihak bank kerana berdasarkan kepada laporan Audit Tahunan Bank, bank-bank tempatan masih mencatatkan keuntungan jutaan dan bilion ringgit disebalik pandemik yang melanda.
“Tidak ada satu pun institusi perbankan di negara ini yang muflis setakat ini kerana memberikan moratorium, tetapi sebaliknya rakyat yang menjadi peminjam ramai yang telah muflis akibat kekangan kewangan,” katanya.
Tambahnya lagi, inilah masanya pihak bank memainkan peranan dan tanggungjawab sosialnya dengan membantu peminjam yang selama ini membantu institusi perbankan mencatat keuntungan berlipat kali ganda.
Pada masa yang sama, rakyat juga tidak perlu mengeluarkan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWSP, jika kemudahan moratorium automatik dilaksanakan.
“Dalam situasi negara dan rakyat yang masih lagi dibelenggu dengan tekanan ekonomi kesan pandemik Covid-19 dan sekarang ditambah pula dengan bencana banjir luar biasa yang menyebabkan ramai terkesan, pihak institusi perbankan perlu memberi pertimbangan sewajarnya untuk membantu rakyat dan kerajaan.
“Jadilah sebuah institusi perbankan yang berhati mulia dan janganlah hanya memikirkan keuntungan secara berterusan semata-mata tanpa memandang kesusahan dan kesukaran yang dialami peminjam yang selama ini telah menyumbang keuntungan kepada anda”, katanya. – SM