Nasional

Injunksi interim PMX dibuat tanpa pengetahuan-Sanusi

MENGGUNAKAN media sosial untuk membuat kenyataan, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa injuksi interim (sementara) bagi menghalangnya daripada terus mengeluarkan kenyataan ke atas Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim kelmarin, dibuat tanpa pengetahuannya.

Sanusi berkata, perintah menghalangnya mengeluarkan kenyataan mengaitkan Anwar dengan perlakuan tidak bermoral itu dimohon peguam pada 26 Julai lalu dan perintah mahkamah dikeluarkan pada Ahad lalu iaitu selepas empat hari permohonan.

“Tak dak hujan tak dak ribut, tiba-tiba timbul pasal perintah injunksi. Pasukan peguam saya beritahu, perintah itu yang diberikan ke atas saya adalah diperoleh secara ‘ex-parte’ (sebelah pihak).

“Yakni, permohonannya dibuat oleh PMX secara sebelah pihak dan sembunyi-sembunyi tanpa menyerahkan permohonan itu kepada defendan.

“Mereka berhujah sebelah pihak tanpa defendan dipanggil berhujah dan dibenarkan oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya, hari ini.

Berikutan itu Sanusi berkata, pihaknya melihat permohonan itu dibuat secara tiba-tiba dan mahkamah pula mengeluarkan perintah dalam tempoh masa yang singkat.

“Itu maksud (permohonan) ex-parte (sebelah pihak) yang diperuntukkan di bawah Aturan 29 Kaedah 1(2A) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk keadaan-keadaan tertentu sahaja.

“Permohonan dibuat pada 26 Julai 2023, perintah diberikan empat hari selepas itu iaitu pada 30 Julai 2023. Tak ada hujan tak ada ribut, tiba-tiba pokok bergoyang dan dedaun pun luruh,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar dilaporkan memperoleh perintah injuksi interim (sementara) terhadap Sanusi bagi menghalang Menteri Besar Kedah itu daripada terus mengeluarkan kenyataan mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral.

Perintah injunksi itu adalah berkaitan saman fitnah difailkan Anwar terhadap Sanusi pada 13 Disember tahun lalu berhubung dakwaan ucapan yang mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

Dalam keputusan yang dibuat melalui permohonan secara ex-parte kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah, Mahazan Mat Taib memerintahkan Sanusi untuk tidak mengeluarkan, mengulangi dan menerbitkan kenyataan berkaitan dengan saman fitnah yang difailkan Anwar.

Hakim juga memerintahkan Sanusi perlu mematuhi perintah injunksi itu dengan serta merta selepas perintah berkenaan disampaikan kepadanya. – SM

BACA Mahkamah larang Sanusi ‘sentuh’ perihal akhlak Anwar

BACA Anwar saman Sanusi

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button