Inisiatif anak muda cipta buku pendidikan seksual untuk kanak-kanak
3 ANAK muda berjaya mencipta sebuah buku mencipta sebuah buku khas untuk kanak-kanak mengajar tentang pendidikan seksual.
Walaupun ia diangap masih tabu bagi sebahagian masyarakat yang percaya bahawa perbincangan mengenai topik ini tidak sesuai untuk segelintir golongan.
Menyedari hal ini, sembilan anak muda telah berganding bahu menubuhkan organisasi Pocket of Pink (POP) untuk mengubah persepsi tersebut melalui penghasilan modul pendidikan berjudul Express to Empower: Bodies, Boundaries and Identity — sebuah buku aktiviti 20 muka surat dalam bentuk kartun.
Ain Husniza Saiful Nizam, 20, yang merupakan pereka grafik dan ketua projek untuk modul ini, menjelaskan bahawa buku aktiviti berwarna-warni ini, dengan ilustrasi mudah difahami, bertujuan untuk memberi pemahaman asas kepada kanak-kanak mengenai keselamatan diri, hak mereka, serta bahaya gangguan seksual.
Pelajar jurusan politik antarabangsa di University of Nottingham Malaysia itu menekankan bahawa pendidikan seksual tidak sepatutnya dianggap sebagai galakan kepada aktiviti seksual, sebaliknya ia adalah langkah mendidik kanak-kanak mengenai anatomi manusia agar mereka lebih bersedia melindungi diri daripada eksploitasi seksual.
“Ramai kanak-kanak sebenarnya tidak tahu apa itu gangguan seksual atau amang seksual, dan ini amat menakutkan. Mereka tidak menyedari bahaya di sekeliling mereka serta tidak tahu cara untuk bertindak jika berdepan situasi tersebut,” kata Ain Husniza kepada Bernama.
Tambah Ain, antara konsep utama dalam modul ini ialah “Good Crowd” yang mendidik kanak-kanak tentang cara membina hubungan yang sihat dan menitikberatkan aspek pendidikan secara menyeluruh.
Dalam aspek penyampaian, Ain Husniza menjelaskan bahawa penggunaan kartun dalam modul ini adalah pendekatan paling sesuai untuk kumpulan sasaran kanak-kanak, di samping kartun yang menjadi medium efektif untuk menyampaikan mesej-mesej yang sukar. Modul ini juga mengandungi aktiviti seperti teka silang kata yang direka dengan bahasa mudah untuk menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan.
Ain turut menekankan pentingnya menggunakan istilah sebenar untuk merujuk alat kelamin, menggantikan perkataan kiasan seperti “bunga” atau “ultraman,” agar kanak-kanak dapat memahami tubuh badan mereka dengan tepat.
Modul yang pada mulanya dibangunkan dalam bahasa Inggeris sejak September lalu ini telah diperkenalkan kepada umum buat pertama kali di Festival Kartun Gen Z baru-baru ini. Modul tersebut mendapat sambutan hangat daripada masyarakat, terutamanya dalam kalangan ibu bapa yang mengunjungi reruai mereka. POP kini dalam proses menghasilkan versi berbahasa Melayu untuk modul ini dan bercadang untuk memperkenalkan lebih banyak buku dalam siri yang sama, dengan fokus kepada aspek lain seperti sentuhan selamat, keselamatan di sekolah, dan isu buli.
“Kami juga merancang mengadakan program jelajah agar lebih ramai kanak-kanak dan ibu bapa dapat akses kepada buku ini,” tambah Ain. Beliau juga berharap pendidikan seksual dilihat sebagai langkah pencegahan awal terhadap ancaman seperti pedofilia dan eksploitasi kanak-kanak, sambil berharap agar kementerian berkaitan menyokong usaha mereka.
Buat masa ini, modul ini dijual pada harga RM25 senaskah, namun Ain menyatakan harapan agar sokongan pihak berkenaan akan membolehkan buku ini diedarkan secara percuma pada masa akan datang.