Ini sebab mengapa “Kerajaan Darurat” tidak akan menyusahkan rakyat
Spekulasi Mengenai Perisytiharan Darurat Dan Penguatkuasaan Kerajaan Darurat
1. Spekulasi mengenai perisytiharan darurat dan penguatkuasaan kerajaan darurat di Malaysia, tersebar luas hari ini, berikutan satu mesyuarat khas kabinet Pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi.
2. Saya diminta untuk mengulas kemungkinan ini dalam konteks kebimbangan rakyat jelata, kehidupan mereka, dan keselamatan nasional seluruhnya.
3. Jika ramalan ini jadi kenyataan, rakyat tidak perlu bimbang. Pentadbiran darurat lazimnya dilaksanakan untuk menguruskan masalah keselamatan yang melanda negara.
4. Kerajaan darurat diuruskan menggunakan “emergency operating procedures” (EOP) atau prosedur operasi darurat yang lebih “hands-on”, fokus, terselaras, cekap dan berkesan; dan menggunakan sistem bilik gerakan (war room), bukannya sistem kabinet.
5. Jika kerajaan darurat dikuatkuasakan di Malaysia kali ini, masalah keselamatan yang akan ditangani mungkin mengenai politik negara yang bercelaru, nyawa rakyat yang diancam covid-19, kehidupan rakyat dan ekonomi negara yang gawat, dan keselamatan nasional yang turut terjejas akibat seluruh isu ini.
6. Pelaksanaan kerajaan darurat kali ini mungkin menyebabkan fungsi parlimen dan dewan negeri digantung dan sistem demokrasi akan tertangguh. Jangan khuatir sebab ini cuma fenomena sementara yang akan tamat bila ancaman reda seperti sediakala.
7. Jika fungsi parlimen dan dewan negeri digantung dan demokrasi tergendala, pengurusan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan dikendalikan oleh kerajaan sementara (interim government) yang dianggotai oleh gabungan pasukan dari kalangan politik dan profesional berkaliber tinggi dan pelbagai bidang.
8. Seperti dinyatakan di atas, kerajaan darurat ini akan menangani masalah dengan penuh kesegeraan (urgency), menggunakan EOP bukan standard operating procedures (SOP) atau prosidur operasi lazim.
9. Malaysia mempunyai pengalaman menguruskan ancaman keselamatan menerusi kerajaan darurat selepas negara dilanda konflik kaum pada tahun 1969.
10. Malaysia juga berpengalaman menguruskan masalah kegawatan ekonomi global 1982 dan krisis kewangan Asia 1997 menerusi pendekatan bilik gerakan.
11. Disebabkan ancaman pada tahun 1969 dicetuskan oleh keganasan kaum, peringkat awal pemerintahan darurat ketika itu digandingkan dengan perintah berkurung yang ditamatkan selepas keamanan pulih seperti sediakala.
12. Kerajaan darurat pada tahun 1969 terbukti berkesan. Gabungan pengurusannya dari kalangan politik dan teknokrat kaliber tinggi, termasuk ilmuan terbilang, menghasilkan pelbagai dasar dan gagasan yang terus relevan sampai sekarang.
13. Antaranya adalah Dasar Ekonomi Baru (DEB), Rukunegara, dasar perpaduan negara dan pelbagai lagi penemuan yang dijadikan asas pembinaan bangsa dan pembangunan negara.
14. Kesimpulannya, kerajaan darurat tidak menyusahkan rakyat. Sebaliknya, ia membolehkan ancaman keselamatan seperti politik menggila, wabak yang ganas, dan ekonomi yang longlai, menerusi kesegeraan dan EOP ditangani.
15. Kerajaan darurat kali ini mungkin turut menggantung fungsi parlimen dan menjejaskan perjalanan demokrasi. Tetapi, ia tidak mungkin menyebabkan kuatkuasa perintah berkurung.
16. Rakyat perlu redha sebab pelaksanaan sesuatu kerajaan darurat hanya sementara dan dilakukan demi negara, rakyat jelatanya, ekonominya dan keselamatannya.
Datuk Dr Ruhanie Ahmad
Penganalisis Keselamatan Nasional
23.10.2020