Nasionalpilihan

Ini satu fitnah yang kejam dan melampau – Ebit Lew

PENDAKWAH bebaz, Ebit Lew yang dipanggil ke Bukit Aman pada hari ini memberitahu yang dia telah memberi keterangan selama lebih satu jam.

Menurut Ebit, dia dipanggil untuk membantu siasatan berkaitan kes gangguan seksual yang didakwa berkait dengannya.

“Saya dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan terhadap pertuduhan gosip di luar sana.

“Saya serahkan kepada polis untuk siasatan. Ini satu fitnah yang sangat kejam dan melampau,” katanya.

Terdahulu, Ebit Lew tiba di Bukit Aman kira-kira pukul 9 pagi tadi dan selesai memberi keterangan kira-kira pukul 2 petang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan polis sudah merakam keterangan Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan akan diteruskan sehingga pihak polis berpuas hati untuk merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapat nasihat dan arahan lanjut.

“Polis memohon kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan kes ini dapat disiasat dengan telus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menasihati orang ramai untuk tidak membuat penyebaran apa juga bahan yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button