Ini bukan hikayat tetapi ini derita rakyat
HUJAH-HUJAH yang dilontarkan YB Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, menyentuh Belanjawan 2021 adalah begitu bernas dan penuh sokongan fakta.
Satu perkara yang menjadi bualan ramai pada hari ini ialah hujah tentang ‘Hikayat Puteri Gunung Ledang’ berkait dengan sokongan ahli-ahli parlimen berhubung lanjutan moratorium secara pukal selama 6 bulan dan pengeluaran akaun 1 KWSP sebanyak RM10,000 secara one-off.
Kita faham bila beliau mengeluarkan pendirian sedemikian. Siapa lagi yang hendak pertahankan Perikatan Nasional jika bukan ahli parlimennya sendiri. Begitulah juga dalam Belanjawan 2021. Sudah menjadi tanggungjawab ahli parlimen PN untuk menyokong sehingga diluluskan.
Bagaimanapun, dalam memastikan belanjawan kali ini benar-benar menyelesaikan masalah rakyat, yang pertama kali dalam sejarah melalui kesan teruk wabak Covid-19, adalah perlu untuk Belanjawan 2021 disemak imbang.
Keutamaan kali ini ialah menghilangkan derita rakyat. Rakyat telah bersuara mahu mereka dibantu. Justeru, sokongan bersyarat yang dimaksudkan oleh Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Abdul Razak adalah bagi memastikan tuntutan yang diperlukan rakyat itu mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.
Tuntutan itu, berhubung moratorium dan KWSP adalah tidak mustahil untuk dilaksanakan berdasarkan hujah-hujah kewangan dan ekonomi yang telah dibahaskan. Malahan, kaedah pelaksanaannya juga telah dicadangkan oleh Pekan sendiri.
Dari satu sudut, pada hemah politiknya, kegagalan kerajaan membantu rakyat melalui Belanjawan 2021 ini kelak akan mengundang kemarahan rakyat. Jika rakyat marah, ia akan menjejaskan Barisan Nasional dan Pas yang sama-sama di pihak kerajaan.
Ini bukan hikayat puteri gunung ledang, tetapi ini adalah derita rakyat yang mana keputusan yang dibuat mesti mengambil kira suara rakyat kerana silap keputusan Rakyat yang akan menanggung derita.
Wan Muhammad Azri Wan Deris
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia