Jenayah

Ingkar PKP: Pegawai polis ditahan halang anggota MPV jalankan tugas

SEORANG pegawai polis antara 227 individu yang ditahan dalam operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan (PKPP) di Petaling Jaya, Selangor.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, dalam operasi awal pagi semalam, pegawai berusia 39 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 3 pagi di sebuah pusat hiburan di Kelana Jaya.

Dia ditahan selepas menghalang anggota Unit Kenderaan Peronda (MPV)  menjalankan tugas pemantauan PKPP.

Menurut Nik Ezanee, pasukan MPV berkenaan telah pergi ke pusat hiburan itu selepas menerima laporan bahawa premis tersebut masih beroperasi dan dipenuhi pengunjung walaupun sudah menghampiri pukul 3 pagi.

“Ketika kejadian, seorang lelaki dipercayai pelanggan kelab berkenaan telah memperkenalkan dirinya sebagai pegawai kanan  yang bertugas di bawah kontinjen Selangor.

“Individu yang sama itu juga membuat provokasi dengan cara menghina dan cuba mengugut anggota polis MPV yang sedang menjalankan tugas,” katanya kepada BERNAMA.

Nik Ezanee menjelaskan, susulan itu, lelaki tersebut ditahan dan semakan yang dilakukan kemudiannya mendapati, memang benar dia adalah pegawai polis yang bertugas di sebuah ibu pejabat polis daerah di Selangor.

Kes itu disiasat menurut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Peraturan 11(1) Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana ingkar PKP, katanya.

Menjelaskan lebih lanjut berhubung dengan operasi yang dilakukan pada awal pagi semalam, beliau berkata, serbuan dilakukan di tiga premis hiburan berasingan di daerah itu yang turut menyaksikan pihaknya mengeluarkan kompaun kepada 227 individu kerana ingkar PKPP. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button