Ekonomi

inDrive lantik Stephen Kruger sebagai Ketua Pegawai Teknologi dan Produk

inDrive, sebuah platform mobiliti dan perkhidmatan bandar global, mengumumkan pelantikan Stephen Kruger sebagai Ketua Pegawai Teknologi dan Produk.

Stephen akan bertanggungjawab melaksanakan strategi pembangunan teknologi dan produk inDrive sementara syarikat ini terus berkembang ke geografi dan vertikal perniagaan baru.

Selain perkhidmatan e-panggilan sebagai teras perniagaan, inDrive telah membangunkan platformnya dengan tawaran penghantaran kargo dan kurier di lokasi khusus, serta perkhidmatan tukang.

Gabungan pasukan teknologi dan produk bertanggungjawab untuk terus meningkatkan platform inDrive, menerapkan ciri-ciri produk baru untuk menyokong pertumbuhan, dan mendiversifikasi perniagaan lebih lanjut.

Menyambut Stephen ke dalam pasukannya, pengasas dan CEO inDrive, Arsen Tomsky berkata: “Latar belakang Stephen yang luar biasa dalam kepimpinan teknologi adalah selaras dengan visi kami untuk masa depan inDrive. Keupayaannya yang terbukti untuk mendorong perubahan dan inovasi akan memperkuat kedudukan kami dalam industri sambil membolehkan kita terus memberi tumpuan kepada membina perniagaan yang berpusatkan orang, menentang ketidakadilan, dan mencipta peluang ekonomi.”

Mengulas pelantikan ini, Stephen berkata: “Saya amat bangga dapat menjadi sebahagian daripada pasukan inDrive dan menyumbang kepada fasa inovasi dan pertumbuhan seterusnya, dalam masa syarikat ini memperluas ke geografi baru dan menerokai vertikal perniagaan baru, sambil kekal fokus kepada kecekapan dan skalabiliti.

“Saya berharap dapat menggunakan pengalaman saya untuk memimpin pasukan teknologi dan produk ketika kami mengembangkan penyelesaian terkini yang memenuhi keperluan pelanggan kami yang terus berkembang, dan menyumbang kepada misi syarikat untuk menentang ketidakadilan.”

Sebelum menyertai inDrive, Stephen pernah memegang jawatan Ketua Kejuruteraan di Grab (Singapura) dan Ketua Pegawai Teknologi (CTO) di Careem (Dubai).

Beliau telah memimpin pelbagai transformasi organisasi, melalui penggabungan dengan Uber dan mendiversifikasi kedua-dua syarikat menjadi platform multi-vertikal yang merangkumi makanan, barangan runcit, logistik, dan pembayaran.

Kerjayanya juga melibatkan jawatan di IBM, Xerox Research, dan Sun Microsystems, memegang 20 paten di pejabat paten di Amerika Syarikat, Eropah, dan China.

Lahir dan dibesarkan di Afrika Selatan, Stephen adalah graduan Rhodes University dengan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam sains komputer dan biokimia. Beliau juga telah menamatkan program kepimpinan eksekutif di Harvard Business School. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button