SEORANG lelaki dipenjara sebulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu di sini hari ini, kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).
Memetik laporan BERNAMA, Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret, menjatuhkan hukuman itu ke atas P. Ramasamy, 66, selepas lelaki itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah mengarahkan Ramasamy yang bekerja sendiri itu, untuk menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 4 Mei dan akan dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Ramasamy didakwa melakukan perbuatan itu dan membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH) menggunakan kenderaan pacuan empat roda, dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam PRK KKB, untuk mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon PH.
Perbuatan itu dilakukan di sekitar Taman Bukit Bunga dekat sini pada kira-kira 5.40 petang, 4 Mei. – SM