Indahnya kaki Bukit Chabang Mari persis Lauterbrunnen
JIKA Switzerland terkenal dengan Lembah Lauterbrunnen yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia, Perlis Indera Kayangan juga boleh berbangga dengan Bukit Chabang Mari.
Kaki bukit Bukit Chabang Mari ada keunikan tersendiri sekalipun tidak boleh menyaingi Lembah Lauterbrunne yang terletak di antara tiga gunung besar dengan 72 air terjun ini.
Sesiapa sahaja yang pernah melalui jalan untuk ke Padang Besar, Perlis pastinya dapat melihat bukit berkembar yang tersergam indah ini dari bahagian belakang .
Cuma keindahan secara total kaki Bukit Chabang Mari ini boleh dinikmati dari sisi atau bahagian hadapan.
Sebelum itu, pengunjung perlu melalui jalan kampung bertar untuk sampai ke sini.
Sebaik sahaja tiba, sesiapa sahaja akan terpukau melihat kaki Bukit Chabang Mari ini yang terhampar dengan begitu indah sekali.
Inilah pemandangan yang tidak terduga yang ada di sebalik Bukit Chabang.
Sesungguhnya usaha Kassim Shahruddin, 40, untuk mengubahsuai persekitaran di kaki bukit ini sangat membanggakan.
Kassim bukan saja mengekalkan pokok yang sedia ada malah menanam pokok serai dan juga buluh bagi menambah koleksi tanaman yang sinonim dengan perkampungan Melayu.
Tidak cukup dengan itu, beliau juga membina kandang kambing yang dibiarkan bebas untuk meragut rumput di kaki bukit ini.
Selain itu terdapat ternakan arnab dan ayam.
Sekaligus ini memberi peluang untuk pengunjung dari kota khususnya kanak-kanak mengenali binatang peliharaan ini yang masih kekal di kampung-kampung.
Beliau juga membina dua kolam ikan untuk ternakan ikan puyu, sepat dan talapia.
Katanya, ikan puyu dan sepat ini adalah ikan air tawar yang masih boleh didapati di sawah dan sungai di kawasan kampung di Perlis.
Juga dibina beberapa replika untuk kemudahan pengunjung bergambar termasuk telaga di zaman dahulu kala.
Bagi pengunjung, Jasmin Jaafar, 56, dan anak saudaranya Nur Bazilah Khiruddin, 31, mengakui kagum dengan keindahan kaki Bukit Chabang Mari ini.
“Sebagai anak Perlis yang menetap di Selayang, Selangor, saya tidak menyangka di Perlis juga ada perkampungan secantik ini ala Lembah Lauterbrunnen di Switzerland,” katanya. – SM