Nasionalpilihan

Bajet 2022 penting untuk jayakan proses pemulihan negara

BAJET 2022 jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan konsep Prihatin Rakyat dalam menyalurkan bantuan terus kepada golongan yang terkesan, baik individu mahupun perniagaan dalam semangat kebersamaan dalam Keluarga Malaysia

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu amat penting dalam memastikan kejayaan tahun 2022 sebagai tahun pemulihan untuk Malaysia.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Menteri Kewangan atas pembentangan Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” bernilai RM332.1 bilion iaitu bajet yang terbesar dalam sejarah belanjawan negara.

“Dengan berpaksikan kepada tiga strategi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan, saya yakin Bajet 2022 akan terus memperkasa usaha-usaha pemulihan negara di bawah Pelan Pemulihan Negara yang sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhyiddin, bajet 2022 dilihat akan terus menyokong pemulihan negara melalui dasar fiskal yang mengembang dan dirangka berdasarkan keutamaan untuk memulihkan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap sistem kesihatan awam dan struktur ekonomi.


Jelasnya, perkara itu adalah cerminan tekad kerajaan untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama.

“Peruntukan kedua terbesar yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan amat tepat bagi memacu pemulihan negara ke fasa endemik.

“Justeru diharapkan penekanan pada sektor kesihatan bukan sahaja mampu menampung fasa endemik tetapi juga memperkukuh sistem kesihatan negara untuk menghadapi cabaran pandemik lain pada masa depan termasuk dari segi kapasiti hospital, fasiliti dan kepakaran,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, peruntukan paling besar sebanyak RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan pula menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap aspek pembangunan modal insan termasuk penyediaan fasiliti dan akses pembelajaran yang masih menjadi masalah utama bagi murid di luar bandar.

Be;iau juga berharap dana yang diperuntukkan misalnya untuk membaiki sekolah daif dapat disalurkan ke sekolah yang benar-benar memerlukan, yang belum pernah mendapat bantuan kerajaan.

Tambahnya, semua rakyat diseru supaya bersatu padu dalam memastikan usaha pemulihan negara dapat berjalan dengan lancar dan kita semua dapat kembali merancakkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat demi mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. -SM

 

(Visited 16 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button