Luar Negara
Import gas asli Israel ke Mesir meningkat 39 peratus
Eksport gas asli srael ke Mesir meningkat sebanyak 39 peratus pada 2023 berbanding 2022, menurut laporan tahunan yang diterbitkan oleh Kementerian Tenaga dan Infrastruktur Israel pada Ahad.
Laporan yang ditulis oleh Pihak Berkuasa Gas Asli kementerian itu menyatakan bahawa eksport gas asli ke Mesir meningkat kepada rekod tahunan 8.6 bilion meter padu (BCM) tahun lepas.
Gas Israel diangkut ke Mesir melalui Saluran Paip Gas Mediterranean Timur (EMG) swasta dan sistem penghantaran Jordan yang terletak di timur Israel.
Kementerian itu mengaitkan lonjakan dalam eksport disebabkan peningkatan dalam permintaan dari Mesir dan permulaan pengeluaran gas asli dari ladang Karish di timur Mediterranean pada Oktober 2022, melengkapkan medan gas Leviathan dan Tamar sedia ada di Israel.
Secara keseluruhan, eksport gas asli Israel, merangkumi yang dihantar ke Mesir dan Jordan, mencapai 11.6 BCM pada 2023, menandakan peningkatan 27 peratus tahun ke tahun.
Eksport ke Jordan kekal hampir tidak berubah dalam tempoh ini.
Pengeluaran gas asli Israel tahun lalu mencapai rekod tahunan baharu sebanyak 24.7 BCM, meningkat 12.8 peratus daripada 2022.
Jumlah itu termasuk, di samping eksport, 13.1 BCM yang dibekalkan kepada ekonomi tempatan, menandakan peningkatan 3.5 peratus tahun ke tahun.
Kira-kira 80 peratus daripada bekalan tempatan digunakan untuk penjanaan elektrik.
Kementerian itu menyatakan bahawa harga dan bekalan gas asli di Israel menunjukkan kestabilan walaupun konflik berterusan di Semenanjung Gaza dan krisis tenaga global. – Xinhua