Nasional

Impak positif pada ekonomi rakyat jika kedai makan beroperasi hingga 10 malam

KEBENARAN untuk beroperasi sehingga pukul 10 malam terhadap restoran dan kedai makan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan memberi impak positif pada ekonomi rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan itu kerana syarat penutupan operasi restoran dan kedai makan seawal pukul 8 malam telah menyukarkan banyak pihak.

“Saya memahami bahawa ketika ini peningkatan kes Covid-19 amat membimbangkan, tetapi saya yakin bahawa dengan pematuhan SOP yang ketat oleh semua pihak jangkitan dapat dielakkan.

“Apatah lagi peniaga hanya menjual makanan yang ditempah dan dihantar oleh pekerja penghantaran,” katanya.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, penutupan restoran dan kedai makan seawal pukul 8 malam menyebabkan orang ramai terutama yang baru pulang daripada bekerja tidak sempat untuk membeli juadah makan malam.

Datuk Seri Mahdzir Khalid

Selain itu ujar beliau, pendapatan bagi pekerja penghantaran juga susut mendadak kerana kekurangan tempahan yang diterima daripada pelanggan yang tidak sempat membeli makanan selepas pukul 8 malam.

“Ini juga berkait dengan ekonomi rakyat, pembekal bahan mentah makanan, peniaga, pemilik restoran serta kedai makan terjejas dan pendapatan pekerja penghantaran terjejas.
“Bagi saya waktu antara pukul 8 malam hingga 10 malam itu adalah waktu perdana bagi orang ramai untuk mendapatkan juadah makan malam” ujarnya.
Katanya lagi, kelonggaran tambahan had waktu operasi selama dua jam itu akan memberi impak yang besar kepada rantaian ekonomi negara secara keseluruhannya.
Tambahnya, dia juga memohon sedikit pertimbangan untuk membolehkan mereka membuka restoran dan kedai makan sehingga pukul 10 malam.
“Saya dengar ramai sangat yang merungut dan mahukan kelonggaran diberikan. Ini soal kelangsungan hidup semua pihak dalam keadaan serba sukar sekarang ini,” jelasnya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button