EkonomiNasional

ikhlas.com, Halo Telco bergabung lancarkan Sahabat IKHLAS

IKHLAS Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) dan Sahabat korporat, Halo Telco, baru-baru ini melancarkan program Sahabat Ikhlas.

Ia bertujuan membantu orang ramai menjana pendapatan sampingan menerusi penjualan pakej umrah, kembara mesra Muslim dan perkhidmatan gaya hidup Islam termasuk korban, aqiqah dan zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, usaha sama itu membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk memperoleh komisen lumayan dengan membantu bakal jemaah melaksanakan umrah pada harga berpatutan dengan pakej Ikhlas Umrah.

Katanya, inisiatif itu juga bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing dengan menawarkan pelbagai kelebihan, termasuk peluang menjana pendapatan sehingga RM6,000 sebulan di samping manfaat perubatan dan potongan harga untuk penerbangan AirAsia.

“Sahabat Ikhlas turut menikmati pelbagai kelebihan lain termasuk peluang mengerjakan ibadah umrah secara percuma, elaun asas dan diskaun hebat bagi semua penerbangan AirAsia.

“Ia diberi sekiranya berjaya mencapai status Sahabat Ikhlas Allstar dengan syarat (mereka) menerbangkan sekurang-kurangnya 200 jemaah setahun,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Halo Telco, Shukex Rahim berkata, Halo Telco akan menyemarakkan lagi pencarian ejen dengan siri jelajah ke seluruh negara bagi menerangkan kelebihan dan kaedah menjadi Sahabat Ikhlas selepas sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Menariknya, Sahabat Ikhlas hanya perlu ‘masuk’ pejabat dua kali seminggu tapi berpeluang menikmati kelebihan seperti elaun bulanan, potongan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan zakat selain perlindungan perubatan untuk keluarga mereka,” katanya.

Dilancarkan sewaktu pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com adalah platform kembara dan gaya hidup Muslim yang direka khusus untuk membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cara mudah. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button