Ikea Damansara sekali lagi ditutup, kes Covid-19 libatkan dua pekerja
SELEPAS dilaporkan mempunyai kes positif Covid-19 melibatkan pekerja mereka pada November lalu, pusat beli-belah kelengkapan rumah, Ikea di Damansara sekali lagi melaporkan jangkitan wabak tersebut melibatkan pekerjanya.
Ikea dalam satu kenyataan berkata, dua pekerjanya telah dilaporkan positif Covid-19.
“Kita telah dinasihati oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menutup operasi pada pagi tadi sehinggalah ke satu tarikh yang akan dimaklumkan.
“Perkara itu adalah untuk proses pengesanan kontak rapat dan sanitasi di seluruh kawasan,” katanya.
Menurutnya, Ikea akan memastikan semua langkah keselamatan diambil termasuk menjalankan ujian saringan Covid-19 dan kuarantin bagi semua kontak rapat.
Ujarnya, pengunjung yang berkemungkinan menjadi kontak rapat juga akan dihubung oleh petugas kesihatan.