NasionalRencah Hidup

Peluang berkhemah di puncak Gunung Machincang

GUNUNG Machincang, lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai kerana memiliki antara sistem kereta kabel tercuram di dunia, bakal terus mengujakan pelancong menerusi program berkhemah pada ketinggian 708 meter dari aras laut di puncak gunung berkenaan yang akan ditawarkan tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Operasi Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB) Rohizat Hashim berkata menerusi program ‘One Night @ 708m Machincang Mountain’ pengunjung akan berkhemah di South Platform, satu daripada dua platform yang terletak di puncak gunung.

Beliau berkata PLSB, pengendali Langkawi SkyCab telah mengadakan tiga siri percubaan termasuk pada malam sambutan tahun baharu 2021 melibatkan 40 peserta sebelum program itu dapat dilancarkan, dijangka sekitar pertengahan bulan ini.

“Apabila Langkawi SkyCab turut terjejas akibat pandemik COVID-19, pihak pengurusan cuba mencari alternatif selain jualan tiket kereta kabel sahaja, dan tampil dengan idea untuk memberi peluang kepada pengunjung dengan bayaran RM150 untuk berkhemah serta bermalam di puncak Gunung Machincang.

“Menerusi program ini, pengunjung dapat menikmati keindahan Langkawi dari puncak gunung selain melihat matahari terbenam dan matahari terbit yang pastinya mengujakan. Selain itu program turut diisi dengan solat berjemaah dan bacaan yasin,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Rohizat berkata PLSB, anak syarikat Lembaga Pembangunan Langkawi merancang untuk mengadakan program itu dua kali sebulan pada hujung minggu serta pada cuti umum. – BERNAMA

(Visited 512 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button