Kebakaran

Ibu tunggal tidak lena tidur dibayangi api

Tragedi kebakaran yang menyebabkan seorang ibu tunggal, Robiah Saidin, 61, tinggal sehelai sepinggang masih sukar dikikis daripada ingatannya dalam kejadian yang berlaku di Lorong haji
Manaf, Tangga Batu awal pagi kelmarin.

Menyifatkan kejadian itu sebagai detik hitam yang sukar dilupakan itu, dia melahirkan rasa syukur selamat bersama anak lelakinya berusia 19 tahun tanpa sebarang kecederaan walaupun rumah serta
harta bendanya musnah dalam kebakaran tersebut.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia menjadi trauma dan sering bermimpi api marak sehingga dia sering terjaga dari tidur.

“Saya sendiri tidak sangka dapat keluar dengan selamat dari rumah bersama anak lelaki ketika api sedang marak bermula di bahagian tengah rumah.

“Ketika itu saya tengah kelam kabut kerana tidak dapat mencari kunci grill rumah. Mujurlah saya tidak panik dan teringat kunci itu saya letakkan di dinding ruang tamu.

“Bayangkan kalau saya tidak jumpa kunci itu sudah pasti saya dan anak lelaki maut dalam kebakaran tersebut,” ujarnya ketika ditemui di pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundor di sini hari ini.

Dia hadir menerima bantuan wang tunai daripada Pejabat Daerah Melaka Tengah dan pakaian sumbangan Wanita UMNO Cawangan Pantai Kundor diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi.

Menurut Robiah, buat sementara waktu dia kini menumpang di rumah jiran dan akan berpindah ke rumah sewa di Tangga Batu yang diusahakan oleh Tuminah dalam masa terdekat ini.

Katanya, dia juga menerima bantuan peralatan dapur termasuk periuk nasi, dapur, tong gas, kipas, tilam, bantal termasuk barangan makanan apabila berpindah ke rumah sewanya mulai esok.

“Alhamdulillah banyak pihak membantu saya dan meringankan beban saya yang tidak ada rumah lagi. untuk berteduh. Sumbangan yang diberikan saya ucapkan terima kasih,” ujarnya yang mempunyai lima
orang anak.

Tuminah ketika ditemui berkata, mangsa telah menerima banyak bantuan terutama daripada Pejabat Ketua Menteri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), serta Majlis
Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

“Saya sedang usahakan untuk Robiah mendapat rumah baharu di tapak yang terbakar melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembinaan Rumah Baharu Lembaga Perumahan Melaka (LPM) yang
akan dibina secara percuma,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button