Bencana alam

Mangsa ribut masih trauma

Ribut yang melanda beberapa buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor dekat sini masih meninggalkan kesan kepada mangsa kerana masih terkejut dengan bencana yang berlaku pada awal
pagi kelmarin.

Seorang suri rumah di Kampung Pantai Rombang, Wardiani Ayu Baba, 35, berkata, sejak tembok di sebelah rumahnya roboh menghempap dinding di ruang tamu rumahnya kelmarin menyebabkan dia dan
suami hanya ‘tidur-tidur ayam’.

“Kami masih terkejut kerana tidak pernah mengalami kejadian yang menakutkan itu sepanjang lapan tahun menetap di Solok Hasan Yasin Kampung Pantai Rombang.

“Saya dan suami sudah mula berjaga-jaga kerana risau insiden yang sama berlaku ketika cuaca yang sentiasa mendung sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ketika angin kencang dan hujan lebat melanda kawasan berkenaan kira-kira pukul 3.00 pagi itu, dia dan suaminya sedang nyenyak tidur

Dalam kejadian itu sebanyak 15 buah rumah mengalami kerosakan dibumbung dan dinding manakala 69 buah rumah lain pula dilanda banjir kilat.

Sementara itu seorang peniaga asam pedas di Pantai Puteri, Maizatul Aini Basri, 36, berkata, dia kerugian hampir RM15,000 apabila beberapa peralatan memasak rosak selepas kabinnya dihempap pokok yang tumbang akibat angin kencang.

Menurutnya, perkara itu disedarinya sewaktu ingin memulakan perniagaan pada pagi Rabu terkejut melihat kabinnya rosak dan tidak boleh digunakan selepas dihempap pokok berhampiran tempat dia berniaga.

“Semua barangan rosak dan pecah serta tidak boleh digunakan. Buat masa ini saya akan menggunakan khemah buat sementara waktu untuk menjalankan perniagaan selewat-lewatnya minggu depan.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, kawasan yang terlibat akibat bencana itu Tanjung Kling, Pantai Rombang, Kampung Lereh, Kampung Gelam, Pantai Kundor, Kampung Pengkalan Lanjut dan Pantai Puteri.

“Semua mangsa telah menerima bantuan bencana termasuk wang ihsan dan kit makanan. Ketika ini kesemua mangsa menunggu bantuan daripada Pejabat Daerah negeri Melaka.

“Bagi penghuni 15 rumah yang terjejas akibat beberpa kepingan atap zink diterbangkan angin kuat akan menerima bantuan bencana untuk membaiki kerosakan yang berlaku,” ujarnya.

Menurutnya, dia melahirkan rasa syukur bencana yang berlaku itu tidak menyebabkan kehilangan nyawa atau mereka mengalami kecederaan,” ujarnya. – SM

(Visited 203 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button