Uncategorized

Ibu bapa tak perlu bimbang, penaja tanggung kos pelajar luar negara

IBU bapa yang anak mereka sudah habis belajar tetapi terkandas di luar negara tidak perlu bimbang.

Ini kerana kerajaan melalui agensi penaja akan menampung sepenuhnya kos penginapan dan makanan pelajar Malaysia yang tamat pengajian tetapi terkandas di luar negara susulan penularan wabak COVID-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata penaja pelajar berkenaan bersetuju untuk menanggung semua kos meliputi sewa rumah, makan minum dan sebagainya di negara masing-masing.

“Jadi ibu bapa tak perlu bimbang, ramai ibu bapa berkata anak mereka sepatutnya pulang, jadi kewangan mereka tak mampu bayar sewa rumah, beli makanan dan sebagainya di sana.

“Jadi kerajaan melalui penaja ini seperti MARA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Petronas akan bantu dari segi tempat tinggal dan makanan,” katanya seperti yang dipetik daripada laporan BERNAMA.

Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di Putraja, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata syarikat persendirian dan ejen swasta dialu-alukan untuk membantu kerajaan membawa pulang penuntut Malaysia di luar negara.

Bagaimanapun, beliau berkata mereka perlu mendapatkan kerjasama daripada agensi kerajaan seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengelak sebarang kesulitan.

“Kita tidak mahu nanti bila tiba di lapangan terbang ada masalah dengan imigresen dan sebagainya. Jadi saya harap jika ada ejen seperti itu, sila hubungi pihak MKN supaya kita dapat bantu mereka,” katanya. – BERNAMA

(Visited 110 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button