BeritaPendidikanRencah Hidup

Ibu bapa Allahyarham Hanis Nuraishah Nasuha sebak naik pentas terima Diploma

Hanis Nuraishah Nasuha meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya

SEPATUTNYA yang naik ke pentas menerima skrol Diploma pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) Ke-19 di Nilai, Negeri Sembilan, hari ini ialah Hanis Nuraishah Nasuha Abd. Razak.

Apakan daya, segalanya sudah tersurat sebagai suratan takdir. Yang naik ke pentas menerima Diploma bagi pihak Hanis Nuraishah Nasuha ialah Abd. Razak Isa, 57.

Tidak dapat dibayangkan perasaan pasangan suami isteri ini yang sebak usai majlis penyampaian.

Abd. Razak dan isteri, Najah Aspalela Alias, 52, dari Kampung Tedung, Lanchang, Temerloh, Pahang hadir menaiki pentas bagi mewakili Allahyarham Hanis Nuraishah Nasuha yang merupakan graduan Diploma Sains Pertanian di UCAM, Alor Gajah, Melaka.

Abd. Razak berkata, anaknya meninggal dunia pada 14 Julai tahun lalu akibat kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal selepas pulang dari tempat kerja.

“Arwah anak saya sudah menamatkan pengajiannya, Diploma Sains Pertanian pada tahun lepas dan bekerja di sebuah syarikat di Lanchang, Temerloh selama sebulan setengah sebelum meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 14 Julai tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, “saya agak sebak dan sedih kerana mewakili arwah hari ini. Saya dan isteri gagahkan juga menaiki pentas untuk mengambil sijil arwah pada hari ini,” katanya.

Diploma tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Abd. Razak berkata, Hanis Nuraishah Nasuha merupakan anak ketiga daripada tujuh orang adik beradik dan sangat komited ketika menjalani latihan industri di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) selama empat bulan.

“Ketika menjalani latihan industri, arwah ada membela kerbau sebanyak tiga ekor dan membeli seekor lembu dengan menggunakan wang hasil titik peluhnya sendiri.

“Komitmen yang tinggi terhadap kerjanya juga menyebabkan majikannya mahu bekerjasama dengannya bagi mengusahakan tanaman cili,” katanya yang turut memberitahu, Allahyarham anaknya itu memang pernah menyatakan hasrat mahu bekerja di kampung halamannya.

Kata Abd. Razak, beliau berharap penganugerahan diploma tersebut dapat menjadi contoh kepada anak-anaknya yang lain supaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. – SUMBER UTUSAN – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button