HTAR pulang mesin oksigen, kemasukan pesakit COVID-19 turun mendadak
PERKEMBANGAN positif ke arah kekebalan kelompok mulai dilihat apabila penurunan mendadak jumlah kemasukan pesakit COVID-19 membolehkan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang memulangkan semula 80 unit mesin oksigen ‘concentrator’ yang diberikan kepada hospital berkenaan.
HTAR dalam kenyataan di Facebook memberitahu, kesemua mesin tersebut dipulangkan semula kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0.
Menurut HTAR, Bahagian Logistik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima dan akan menyusun semula keperluan perlatan berkenaan untuk digunakan di negeri-negeri lain yang mengalami peningkatan kemasukan pesakit secara mendadak.
“Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak PKRC MAEPS 2.0, khusus kepada Pengarahnya, Dr. Shahabuddin Ibrahim atas pinjaman sebanyak 80 unit mesin oksigen concentrator kepada HTAR sepanjang tempoh bencana.
“Pihak HTAR memutuskan untuk memulangkan semula peralatan tersebut memandangkan jumlah pesakit COVID-19 di hospital ini semakin menurun.
“Segala sumbangan dan sokongan daripada pihak luar ke HTAR amatlah dihargai dan diucapkan jutaan terima kasih,” katanya.
Selasa lalu, Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi berkata jumlah kemasukan harian pesakit COVID-19 untuk menerima rawatan di hospital tersebut berkurangan lebih 50 peratus sejak seminggu lalu.
Kata beliau, sebelum ini pihaknya menerima kira-kira 400 kes harian bagi pesakit Covid-19 untuk menerima rawatan, namun jumlahnya menurun kepada sekitar 170 pesakit sejak kebelakangan ini.
“Pesakit COVID-19 yang kini menerima rawatan di hospital berkurangan daripada lebih 1,000 pesakit dengan kemuncaknya pada Julai lepas. Setakat pukul 1 tengah hari tadi, pesakit sedia ada tidak sampai 900 orang. ‘Gelombang’ kemasukan pesakit di HTAR ini berlaku pada awal Julai sehingga pertengahan bulan lepas.
“Alhamdulillah kini jumlah (kemasukan pesakit) turun sejak minggu lepas. Susulan keadaan ini secara tidak langsung berlaku penurunan kepada pesakit Kategori 3 ke atas untuk dimasukkan ke dalam wad,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Kerajaan sebelum ini melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjangkakan negara akan mencapai tahap kekebalan kelompok paling lewat akhir tahun ini melalui program vaksinasi yang giat di seluruh negara.
Keberkesanan PPN dapat dilihat apabila kadar kebolehjangkitan atau R-Naut mulai menurun di Lembah Klang dan di peringkat kebangsaan kecuali di beberapa buah negeri di utara semenanjung.