Nasional

HPM-4 bakal nobatkan lima Tokoh Pemuisi Malaysia

Sambutan Hari Puisi Malaysia ke-4 (HPM-4) anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) di Universiti Teknologi Mara cawangan Machang, Kelantan pada 13 dan 14 Jun ini akan menobatkan lima orang
tokoh pemuisi tanah air sebagai Tokoh Pemuisi Malaysia.

Timbalan Presiden PEMUISI, Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman berkata, penerima Anugerah Tokoh Pemuisi Malaysia itu dipilih oleh satu jawatankuasa khas yang dibentuk bagi menilai jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh dalam memartabatkan puisi dan pemuisi tanah air.

“Anugerah ini bukanlah anugerah penulisan atau karya sastera, tetapi anugerah kepada tokoh yang benar-benar berjasa dan berbakti kepada perkembangan puisi dan pemuisi tanah air.

“Anugerah ini diberi bagi mengenang jasa bakti mereka dalam memartabatkan bidang puisi.

“Nama-nama mereka akan diabadikan dalam satu ‘Plak Khas PEMUISI’ dan nama-nama penerima baharu akan ditambah mengikut tahun.

“Maksudnya, bermula pada tahun ini dan seterusnya pada tahun-tahun mendatang, anugerah tokoh ini akan diadakan pada setiap tahun, insya-Allah,” katanya ketika ditemu bual dalam program Awani Pagi terbitan Astro Awani hari ini.

Norhayati berkata berbeza dengan tiga program lalu yang hanya mengadakan sambutan selama sehari, program di Kelantan tahun ini akan diadakan selama dua hari dengan pengisian program penghayatan puisi, persembahan kesenian dan wacana kesusasteraan.

“Memandangkan 13 Jun jatuh pada hari Khamis, maka persembahan pada malamnya tidak digalakkan di Kelantan. Jadi kami tunda Malam Acara Kemuncak Sambutan HPM ke malam keesokannya iaitu 14 Jun.

“Pada sebelah pagi hari pertama, kami akan adakan Seminar Puisi Mutakhir Malaysia dan di sebelah petang akan diadakan Bicara dan Diskusi Buku.

“Tokoh-tokoh pembentang dan pembicara bagi kedua-dua acara itu ialah Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, Adiwangsa Sukma, Datuk A. Aziz Deraman, Sasterawan Kelantan Rosli K Matari, Presiden PEMUISI Datuk Wanrazuhar dan saya sendiri.

“Manakala pada 14 Jun, di sebelah pagi kami akan mengadakan Penghayatan Puisi Artistik yang akan disertai tokoh-tokoh sasterawan nasional dan tempatan.

“Sementara di sebelah malamnya akan diadakan Malam Kemuncak Sambutan HPM: Perpaduan Kukuh, Malaysia Teguh,” tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PEMUISI, Marzelan Md. Jusoh berkata penyertaan masih dibuka kepada peminat puisi untuk menghantar karya ke ‘Pertandingan Menulis Puisi’ dan ‘Video Baca Puisi’ bersempena HPM-4.

“Pertandingan itu yang mula dibuka pada 1 Jun lalu akan berakhir pada 7 Jun.

“PEMUISI telah membuka penyertaan di Facebook Pemuisi Nasional Malaysia, yang bertemakan Perpaduan Kukuh, Malaysia Teguh.

“Walaupun baru beberapa hari dianjurkan, kami mendapat penyertaan yang amat menggalakkan. Masih ada masa lagi bagi peminat puisi tanah air atau luar negara untuk menyertainya.

“Lima pemenang utama akan menerima Hadiah Khas Hari Puisi Malaysia 2024,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button