HOSPITAL Selayang akan ditukar sepenuhnya menjadi hospital Covid-19 sebagai strategi untuk mengurangkan lonjakan kes wabak tersebut di kawasan Lembah Klang.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata, pesakit bukan COVID-19 di Hospital Selayang akan dipindahkan ke hospital swasta di wilayah tersebut untuk meningkatkan kapasiti katil untuk pesakit COVID19 yang berada pada Kategori 3, 4 dan 5.
“Operasi Selayang telah dimulakan dan akan selesai dalam masa 48 jam untuk menyediakan sebanyak 450 katil bagi kegunaan pesakit COVID-19.
“Perhatian penuh akan diberikan bagi memastikan jangkaan keperluan bekalan oksigen, ubat-ubatan dan bekalan lain tidak terganggu,” katanya.
Menurut dr Chee Kheong, ujian COVID-19 akan lebih mengutamakan individu yang bergejala (symptomatic).
Walau bagaimanapun, katanya, semua kes simptomatik COVID-19 ini masih perlu dinilai sama ada secara atas talian ataupun secara fizikal di CAC atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.
“Bagi kes positif yang tidak bergejala (asymptomatic) akan diarahkan untuk menjalani pengasingan di rumah selama 10 hari dan melaporkan diri secara atas talian dengan menggunakan Home Assesment Tools di aplikasi MySejahtera, e-COVID atau SELangkah.
“Kontak rapat kepada kes positif yang tidak bergejala adalah digalakkan untuk melakukan ujian
pantas COVID-19 sama ada di klinik berhampiran ataupun menggunakan kit ujian kendiri dan melakukan pengasingan diri di rumah,” katanya.
Jelasnya, langkah ini diambil supaya pengurangan kes COVID19 dapat dilakukan di wilayah ini dan untuk mengelakkan daripada keadaan menjadi tidak terkawal.
Ujarnya, dengan melakukan ujian kendiri dan pengasingan diri di rumah, diharapkan agar kes-kes yang memerlukan rawatan dapat diberikan dengan kadar segera manakala kontak yang tidak bergejala dapat melakukan ujian kendiri dan ini akan dilaksanakan apabila kit ujian kendiri boleh didapati dengan meluas.
Dalam pada itu, Pasukan Petugas Khas Lembah Klang (GKVSTF) juga ditubuhkan untuk menangani isu
berkaitan peningkatan jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital dan beban pada sistem penjagaan kesihatan dengan kadar segera.
Pasukan petugas akan memberi tumpuan penuh kepada perkara, Penjagaan Klinikal; Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dan Pemantauan Kendiri di Rumah; Epidemiologi; Logistik Perubatan dan Umum; Sistem Sokongan Sosial bagi Petugas Hadapan; Sumber Manusia dan Kewangan dan Komunikasi Strategik.
Tambahnya, strategi berikut dikenal pasti sebagai tindakan yang perlu diambil dengar kadar segera. -SM