Hospital Melaka bakal miliki wad isolasi tahun depan
Melaka akan mempunyai sebuah wad isolasi khas bagi rawatan penyakit berjangkit bakal dibina di Hospital Melaka menjelang tahun depan membabitkan kos RM1.3 juta kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr. Muhammad Akmal Saleh.
Menurutnya, wad isolasi yang bakal dibina itu akan berfungsi seperti unit rawatan kecemasan untuk langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit seperti Covid-19.
Beliau berkata, pembinaan projek tersebut adalah usaha sama antara Hospital Melaka dan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY) melalui dana RM1 juta namun ia memerlukan dana tambahan sebanyak RM300,000 lagi.
Wad isolasi ini seperti jabatan kecemasan tetapi dikhususkan bagi merawat penyakit berjangkit dan ia langsung tidak mengganggu jabatan kecemasan sedia ada di Hospital Melaka.
“Wad separa kekal ini akan dibina di kawasan parkir bersebelahan lobi hospital dan mempunyai antara 40 hingga 50 buah katil untuk merawat pesakit,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Lipat Kajang, Jasin, Melaka di sini hari ini.
Dalam sidang akhbar yang sama juga Muhamad Akmal berkata, pelaksanaan parkir khas berpusat yang dicadangkan di Taman 1 Lagenda khusus untuk pelawat dan kakitangan Hospital Melaka bukan kecemasan akan bermula beroperasi 1 November ini.
Menurutnya, sebanyak 200 tapak parkir berpagar dan mempunyai penjaga dengan kadar bayaran serendah RM1 sejam disediakan untuk pelawat manakala kakitangan Hospital Melaka bukan kecemasan menggunakan
pas bulanan.
“Perkhidmatan bas Panorama disediakan untuk membawa mereka ke Hospital Melaka dengan kekerapan 10 hingga 15 minit dan beroperasi bermula pukul 6.00 pagi hingga 10.30 malam,” ujarnya.
Menurutnya, parkir itu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan dan kesukaran pelawat meletakkan kenderaan yang ingin menziarah ahli keluarga yang dirawat di Hospital Melaka.
Beliau berkata, keutamaan parkir sedia ada dikhususkan kakitangan kecemasan, orang kurang upaya (OKU), ibu mengandung dan warga emas. – SM