Bola SepakSukan

Saya tidak letak jawatan CEO MUFC – Justin Lim

“Berhubung khabar angin yang menyatakan saya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Melaka United, ingin saya nyatakan di sini bahawa ia adalah tidak benar,” demikian ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka United FC (MUFC), Datuk Seri Justim Lim.

Pemilik syarikat KenTeam Sdn. Bhd. yang menguruskan skuad bola sepak MUFC menafikan dakwaan beliau telah meletakkan jawatan yang disandangnya.

Menurutnya, khabar angin yang menyebut beliau telah meletakkan jawatan bertiup sejak seminggu lalu baik di laman sosial dan dalam kalangan peminat skuad Sang Kancil itu disifatkan sebagai tidak
benar.

“Tidak dinafikan, pada mulanya saya benar-benar kecewa apabila wujudnya isu berkaitan dengan pegangan saham kelab ini dengan pihak berkepentingan.

“Di sini juga saya ingin menyatakan yang saya kekal komited untuk terus menerajui Melaka United FC,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sejak minggu lalu, sudah terdengar desas-desus Justin telah menarik diri daripada menguruskan skuad bola sepak MUFC atas beberapa isu tertentu yang turut terkait tunggakan gaji pemain yang kerap berlaku.

Difahamkan Justin sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) yang baharu dilantik Datuk Nur Azmi Ahmad dan dalam tempoh terdekat akan berjumpa Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Mengulas lanjut Justin berkata, selepas perbincangan bersama pihak berkepentingan dilakukan mereka telah mencapai kata sepakat dan kini sedang dalam proses penyelesaian bersama.

Beliau menegaskan pencapaian skuad MUFC sejak syarikatnya KenTeam Sdn. Bhd mengambil alih pengurusan kelab itu tahun lalu boleh dibanggakan.

Malah beliau percaya pasukan yang dibimbing pemangku jurulatih Mohd. Asri Ninggal tahun ini lebih baik dan mampu mencipta lebih banyak kejayaan dengan kerjasama semua pihak berkepentingan.

Menurutnya, sebagai seorang ahli perniagaan yang masih baharu dalam industri bola sepak beliau mengakui tidak terlepas menghadapi pelbagai cabaran dan masih belajar untuk membawa MUFC ke tahap
lebih baik berbanding sebelum ini.

“Saya sentiasa beriltizam untuk menyelesaikan semua masalah dan tidak pernah lari dari tugas saya. Kelab Bolasepak Melaka United menghargai sokongan dan kesabaran para peminat, penaja, kerajaan negeri, MUSA dan semua pihak berkepentingan,” ujarnya. – SM

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button