Hollywood terbitkan siri tv kecurangan Jho Low dalam 1MDB
KISAH kecurangan Jho Low dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berdasarkan buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, And The World’ bakal menjadi siri televisyen dan kini sedang dalam peringkat perancangan, lapor The Hollywood Reporter.
Buku tersebut yang ditulis oleh Tom Wright dan Bradley Hope menceritakan bagaimana Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho telah dituduh oleh kerajaan Amerika Syarikat mendalangi kecurian berbilion dollar daripada dana pelaburan milik kerajaan Malaysia, 1MDB yang dihantar ke akaun bank di Switzerland, Singapura dan Kepulauan Virgin.
Siri tersebut akan diterbitkan bersama oleh Beau Willimon yang juga terbabit dalam drama politik, House of Cards dan rakan kongsinya, Jordan Tappis dan Tan Sri Michelle Yeoh akan dikreditkan sebagai penerbit bersama.
“Kami tertarik dengan cerita yang menggambarkan kerumitan hidup di zaman ini, dengan tumpuan pada watak yang mengelirukan dan mengejutkan.
“Kami juga mahu lebih kreatif menghasilkan karya dalam landskap hiburan yang sentiasa berubah dengan pantas,” kata Willimon dan Tappis dalam satu kenyataan. -SM