Nasionalpilihan

Hishammuddin: Malaysia – Singapura perhalusi usaha perkukuh kerjasama pertahanan

MALAYSIA dan Singapura sedang memperhalusi usaha ke arah memperkukuh kerjasama bidang pertahanan terutama membabitkan angkatan tentera antara kedua-dua negara, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, susulan hari terakhir lawatan kerjanya ke Singapura yang bermula pada 10 Jun, berkata langkah itu adalah hasil pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya, Dr Ng Eng Hen.

“Selain itu, saya dan Ng turut berbincangkan tentang beberapa isu keselamatan serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, mesyuarat itu diadakan sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke Singapura untuk menghadiri Dialog Shangri-La anjuran The International Institute for Strategic Studies.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika berucap Dialog Shangri-La anjuran The International Institute for Strategic Studies berlangsung di Singapura baru-baru ini. Foto: FB Kementerian Pertahanan Malaysia

Hishammuddin berkata selain Ng, beliau juga mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin tertinggi Singapura termasuk Presiden Halimah Yacob, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara Teo Chee Hean, dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Undang-undang K Shanmugam.

“Gembira untuk saya laporkan, pertemuan bersama pemimpin tersebut berlangsung dalam suasana yang cukup mesra dan harmoni serta benar-benar menyerlahkan hubungan akrab dan istimewa antara Malaysia dan Singapura yang telah terjalin selama puluhan tahun,” katanya.

Hishammuddin juga berkata semasa di Singapura, beliau turut bertemu dengan beberapa pemimpin negara sekutu termasuk dari Amerika Syarikat, Australia dan China.

“Ia sekali gus membuka ruang untuk kita bertukar-tukar pandangan dalam banyak isu keselamatan global serta berkongsi komitmen untuk membawa diplomasi pertahanan antara negara masing-masing ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Hishammuddin juga berkata semasa menghadiri dialog itu, beliau diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan bagi pihak Malaysia dalam sidang pleno ketiga bertajuk “Membangun Kerjasama Keselamatan Baharu”. – SM

Baca artikel ini > Malaysia-Indonesia akan meterai MoU kerjasama pertahanan

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button