Jenayah

Hina PDRM, ATM: Asri Janggut akan dipanggil Bukit Aman

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut berhubung kenyataannya yang seumpama menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi sebuah video tular di laman sosial, pada Selasa lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, Mohd Asri akan dipanggil untuk diambil keterangannya dalam minggu ini oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ.

Beliau berkata, siasatan dijalankan selepas dua laporan polis yang dibuat di Balai Polis Travers dan Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini, semalam.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Semalam, BERNAMA melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan dakwaan Mohd Asri bahawa anggota PDRM tidak menjaga solat sebagai keterlaluan.

Pada Selasa lalu, satu klip video berdurasi 31 saat memaparkan Asri Janggut, 42, dalam satu sidang media mendakwa anggota polis serta tentera tidak menjaga solat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button