Kemalangan

Hilang dua anak sekelip mata dalam perjalanan ziarah kubur arwah suami akibat terlangar lori roro

SEORANG ibu tunggal kehilangan dua orang anak di depan mata ketika dalam perjalanan menziarahi kubur suaminya yang meninggal dunia 10 bulan lalu akibat komplikasi penyakit. Norizan Ujak, 40, menyatakan bahawa dirinya tidak mampu menanggung kesedihan setelah dua anaknya maut dalam kemalangan di Jalan Lebuh SPA berhampiran Stadium Hang Jebat, Krubong, pada petang Isnin.

“Saya tak kuat, baru 10 bulan abah mereka pergi, sekarang saya kehilangan dua anak,” katanya.

Kejadian tragis itu berlaku pada jam 6.15 petang, melibatkan anak sulung dan bongsunya, Muhammad Amirul Hazlin, 18, dan Nur Afiqa Sofea Hazlin, 5, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

Apa yang lebih menyedihkan, Norizan menyaksikan sendiri kemalangan yang meragut nyawa anak-anaknya. Dia hanya mampu menjerit “Ya Allah, anak aku!” apabila melihat motosikal yang ditunggangi anaknya melanggar tong sampah pukal roro berwarna biru, menyebabkan mereka tercampak.

Menurut Norizan, dia mengekor anak-anaknya dengan motosikal lain dari arah belakang sebelum kedua-dua beradik itu melanggar tong sampah tersebut. Mereka sedang dalam perjalanan untuk menziarahi kubur suaminya di Tanah Perkuburan Islam Bertam Ulu. Selepas menziarah, mereka merancang untuk makan bersama, namun malangnya, perjalanan itu berakhir dengan tragedi.

Tambahnya lagi, apa yang lebih meruntun hati adalah melihat tong sampah roro diletakkan di lorong kecemasan tanpa langkah keselamatan yang sesuai, seperti kon amaran yang diletakkan terlalu hampir dengan tong tersebut. Malah, tiada seorang pun pekerja kontraktor yang mengawal lalu lintas untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Norizan berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap kecuaian ini yang telah mengorbankan dua nyawanya sekaligus. “Jangan ada lagi orang lain yang menjadi mangsa,” luahnya.

Selain kehilangan dua orang anak, Norizan kini berdepan kesulitan apabila kehilangan punca pendapatan keluarga. Sejak pemergian suaminya pada November lalu, anak sulungnya telah mengambil alih tanggungjawab menanggung keluarga dengan bekerja sebagai tukang cuci kereta sambilan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button