Hikmah PKP, Ayie Floor88 bakal buka kafe
RAMAI sebenarnya yang terkesan bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan untuk mengekang penularan Covid-19 yang melanda negara.
Ada yang hilang pekerjaan selepas syarikat membuat penstrukturan semula, perniagaan makin merudum kerana kedai tidak dibuka dan kurang tawaran pekerja bagi mereka yang bekerja sendiri.
Golongan seni seperti penyanyi dan pelakon antara yang turut terkesan tetapi berbeza pula bagi Ayie Floor88 yang melihat PKP sebagai satu hikmah buatnya.
Ayie yang juga vokalis kumpulan Floor88 berkata dia akan membuka sebuah kafe yang tertumpu pada juadah pencuci mulut selepas perniagaannya atas taliannya mendapat sambutan hangat daripada peminat.
“Masa PKP saya memang tidak ada tawaran pekerjaan. Jadi, saya cuba kreatifkan diri dan mula berniaga makanan pencuci mulut seperti choco rice, kek dan sebagainya.
“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan Alhamdulillah, rezeki itu yang saya kembangkan untuk buka kafe,” katanya kepada Suara Merdeka baru-baru ini.
Menurut Ayie, pembukaan kafe tersebut dirancang pada bulan hadapan di kawasan Setapak, Kuala Lumpur.
Buat masa ini, jelasnya, ahli keluarganya yang akan membantu menguruskan kafe tersebut.
“Memang ada hikmah pada saya bila hadirnya PKP sebab impian untuk membuka kafe akhirnya tercapai,” ujarnya.
Jelas Ayie, dia juga banyak berehat sewaktu PKP atas nasihat doktor berikut sakit tekak yang telah mengganggu vokalnya.
Tambahnya, vokalnya kini sudah semakin pulih dan sedang merancang projek terbaharu bersama Floor88. -SM