Jenayah

Wanita ditahan disyaki terlibat penipuan pembelian telefon bimbit dalam talian

SEORANG wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam penipuan pembelian telefon bimbit secara dalam talian di tiga negeri bernilai RM15,000 pada 15 Jun lepas.

Modus operandi kegiatan pembelian telefon bimbit itu adalah menerusi platform media sosial iaitu Facebook yang mana barang dijual tidak ada manakala syarikat (seperti dalam Facebook) tidak berdaftar.

Ketua Polis Labuan, Supt. Muhamad Farid Ahmad berkata, wanita berusia 30 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Wanita berkenaan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Labuan pada pukul 4.30 petang kerana disyaki terlibat dalam penipuan menjual telefon bimbit dalam talian.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek menggunakan tiga akaun bank untuk menjalankan kegiatan penipuan itu,” katanya semalam.

Muhamad Farid berkata, mangsa penipuan yang terlibat adalah dari Luyang, Kota Kinabalu Sabah, Sarikei dan Mukah di Sarawak dan di Pulau Pinang.

Katanya, kes berkenaan dipindahkan ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut. Suspek dibebaskan atas jaminan polis. – BERNAMA

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!
Close
Close