Rencah Hidup

Hidung cacat lepas pembedahan: Doktor disaman RM2.7 juta

CACAT di bahagian hidung selepas menjalani pembedahan. Berbaloikah doktor berkenaan disaman RM2.7 juta? Mungkin pada fikiran lelaki yang mahu menyaman doktor tersebut, dengan wang yang dituntutnya akan membolehkannya melakukan pembedahan plastik bagi membaiki hidungnya yang cacat.

Begitulah nekadnya seorang lelaki mahu menyaman dua doktor dari sebuah klinik kerana didakwa mengakibatkan kecacatan terhadap hidungnya selepas menjalani pembedahan.

Pemilik salun, Adam Hamil, menjalani pembedahan di klinik yang terletak di Kepong itu untuk membetulkan kedudukan hidungnya yang didakwa sedikit senget.

Writ saman dan pernyataan tuntutan bertarikh 28 Mac lalu difailkan melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) mewakili anak guam, Adam Hamil, terhadap dua individu.

Lelaki berusia 34 tahun itu berkata, doktor berkenaan berjanji boleh membaiki hidungnya untuk kelihatan 98% sempurna.

Bagaimanapun selepas melakukan pembedahan melibatkan kos sebanyak RM10,000 pada 21 Mei lalu, apa yang diharapkan tidak seperti yang dijanjikan selepas hidung menjadi cacat.

“Saya kemudian bertemu dan mereka memberi antibiotik sebelum menawarkan pembedahan buat kali kedua secara percuma.

“Namun, hidung saya bukan bertambah baik sebaliknya semakin teruk selepas melakukannya buat kali kedua pada 28 Jun tahun lalu,” katanya.

Tambah beliau, dia berminat untuk mendapatkan perkhidmatan doktor estetik selepas ada selebriti membuat promosi berkaitan klinik terbabit.

Peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Adam berkata, tuntutan jumlah berkenaan meliputi ganti rugi khas RM152, 211.95, ganti rugi am RM2,100,000 dan ganti rugi teladan RM500,000.

Wan Azmir menjelaskan, ganti rugi am termasuk kecuaian perubatan, selain anak guamnya turut mengalami trauma, kejutan dan tekanan perasaan, kehilangan reputasi serta keyakinan perniagaan.

“Tuntutan ini adalah berkenaan kecacatan hidung dialami anak guam kami. Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan ditetapkan pengurusan kes pada 12 Mei ini,” katanya. – HARIAN METRO – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button